"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS Tidak Mahu Sertai PSC, Kekal Desak Suruhanjaya Diraja

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebabkan PAS tawar hati untuk turut serta dalam Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai penambahbaikan pilihan raya yang bakal ditubuhkan Oktober depan, kata Salahuddin Ayub.


Sebaliknya ujar beliau, PAS akan terus berpegang supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi memastikan perjalanan dan pengendalian pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini.

"Walaupun sebelum ini PAS amat berhati-hati untuk memberikan sebarang komitmen kepada jawatankuasa khas parlimen yang dicadangkan oleh (Perdana Menteri, Datuk (Seri) Najib (Razak) itu, tetapi kenyataan terbaru Najib telah membunuh minat kami untuk memberikan perhatian kepada jawatankuasa tersebut,"kata beliau dipetik dari portal Malaysiakini.

Najib sebelum ini berkata, pilihan raya umum akan diadakan pada bila-bila masa sahaja tanpa terikat dengan keputusan PSC.

"Kenyataan yang angkuh itu menguatkan keyakinan PAS bahawa Najib hanya melepaskan batuk di tangga apabila mengumumkan cadangan menubuhkan jawatankuasa itu dan hakikatnya beliau dan Umno tidak pernah serius dalam mendepani tuntutan reformasi pilihan raya negara ini," kata Salahuddin, semalam.

Mengenai usaha untuk menghubungi badan-badan di peringkat antarabangsa mengenai tuntutan rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih, ahli parlimen Kubang Kerian itu menyatakan, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau menjelaskan, usaha itu adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa mengenai tunturan rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih dalam negara ini.

"Kesedaran mengenai tuntutan itu perlu diperluaskan sehingga ke peringkat antarabangsa," kata Salahuddin.

Bersih 2.0 sebelum ini mengemukakan lapan tuntutan ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
-tvsnews-

Tiada ulasan: