KUALA LUMPUR: Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Yang di-Pertuan Agong ke-14 Malaysia, berasal daripada kesultanan Melayu tertua di dunia yang berusia hampir 1,000 tahun.
Dilahirkan pada 28 Nov 1927, Seri Paduka Baginda adalah anakanda ketiga kepada Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Yang Mulia Tunku Sofia Tunku Mahmud.
Selepas kemangkatan ayahanda Baginda pada 15 Julai 1958, lulusan Oxford ini diisytiharkan sebagai Sultan Kedah dan kini adalah sultan keempat Kedah yang menduduki takhta selama lebih separuh abad, lebih tepat 53 tahun.
Di bawah sistem unik raja berperlembagaan di Malaysia di mana tugas ketua negara digilirkan di kalangan sembilan raja Melayu, Sultan Abdul Halim mencatat sejarah kerana muncul sebagai Agong buat kali kedua dalam riwayatnya.
Tuanku Abdul Halim pertama kali diisytharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima dari 23 Julai, 1970 hingga 21 Sept, 1975.
Seri Paduka Baginda juga memainkan peranan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pertama kali pada 1965 dan kali kedua pada 2006, lebih kurang empat dekad kemudian.
Juga, pada usia 84 tahun Baginda adalah kerabat diraja tertua ditabalkan sebagai Agong. Berbanding dengan Timbalan baginda, Sultan Kelantan Muhamad V, baru mencapai separuh usia Agong.
Bagaimanapun, Sultan Abdul Halim bukan satu-satunya raja bersemayam dalam lingkungan usia 80-an kerana pada masa sekarang, Raja Bhumibol Adulyadej dari Thailand dan Ratu Elizabeth dari England juga dalam lingkungan usia sebaya dengan baginda dan ketiga-tiga mereka telah bertakhta lebih separuh abad.
Detik-detik bersejarah
Seri Paduka Baginda telah menyaksikan detik-detik bersejarah dalam tempoh tugas sebagai Agong kelima semasa negara baru pulih daripada kesan tragedi 13 Mei 1969 dan ancaman Komunis.
Dan mengenai peranan Baginda sebagai ketua negara, Tuanku Abdul Halim pernah dipetik bertitah; “Raja adalah penaung rakyat dan rakyat adalah tonggak raja”.
Sehari selepas pertabalan, Baginda menyaksikan Tun Abdul Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada bapa saudara Baginda, Tunku Abdul Rahman, ketua menteri dan bapa kemerdekaan.
Secara kebetulan, kali ini anak Razak, Datuk Seri Najib Tun Razak pula sebagai Perdana Menteri.
Kehidupan peribadi dan awam
Sultan Abdul Halim dikenali sebagai pemerintah berjiwa rakyat dan berusaha tanpa mengenal penat lelah dalam menjaga kebajikan rakyat.
Pada Disember 2005 negeri jelapang padi Malaysia ini menyaksikan banjir terburuk, dengan Baginda menyatakan kebimbangannya akan nasib rakyat.
Sekali lagi, pada November 2010 apabila negeri itu dilanda banjir, Baginda turun padang untuk bertemu dengan rakyat di pusat-pusat pemindahan. Baginda menghulurkan sumbangan peribadi berjumlah RM100,000 dan menyeru semua pihak agar mengetepikan perbezaan fahaman dan berusaha bersama-sama untuk membantu rakyat membina semula kehidupan.
Secara peribadi, Sultan Abdul Halim bersifat lemah lembut orangnya dan komited dalam tugas sebagai ketua negeri. Baginda meminati bola sepak dan adalah peminat pasukan negeri Baginda.
Pada 2007, Baginda berjalan kaki sejauh dua kilometer ke stadium Batu Kawan di Pulau Pinang untuk menyaksikan pasukan negeri Baginda beraksi selepas kenderaan yang dinaiki rosak dalam perjalanan. Baginda juga meminati sukan golf.
Sebagai ketua negeri Islam, Baginda memainkan peranan penting dalam hal ehwal Islam Kedah.
Keluarga Baginda
Seri Paduka mempunyai tiga puteri daripada isteri, Tuanku Bahiyah, kembar Datuk Seri Diraja Tunku Soraya dan Allahyarhamah Tunku Sarina serta Datuk Seri Puteri Intan Safinaz.
Tuanku Bahiyah yang merupakan anak kepada Tuanku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Agong pertama dan Yam Tuan Besar Negeri Sembilan, pula mangkat pada 2003 dan Tuanku Haminah Hamidun kemudian diisytiharkan sebagai Sultanah Kedah.
Sementara Tuanku Abdul Halim bersemayam sebagai Agong, Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang terdiri daripada adinda baginda Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah; Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah; Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah; dan anakanda baginda, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim akan mewakili sultan dalam urusan negeri.
Daulat Tuanku! dengan penuh hormat dan takzim rakyat Malaysia menyembah ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pertabalan Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April ini.
-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan