FMT Reporters
PETALING JAYA: Insiden pemandu bas pembuli jalan raya Sabtu lalu kini mula tersebar di media sosial apabila mangsa memuat naik video insiden itu di akaun Facebook pada hari berikutnya.
Pengguna FB, Tunku Khalsom Ibrahim memperincikan kejadian itu berlaku di lebuh raya Karak ketika dalam perjalanan dari Genting Highlands pulang ke Kuala Lumpur (KL).
Katanya, dia bersama bayinya berusia setahun dan ibunya memandu kereta.
“Dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan berhampiran Genting Highlands, kami memandu menuju ke terowong Karak.
“Apabila kami memasuki terowong, sebuah bas persiaran dengan tulisan Darul Naim 09 di belakangnya dan nombor plat WWU5909 meluncur dengan laju ke dalam terowong di lorong kanan.
“Ia datang terlalu pantas dan mengejutkan kami semua,” tulis Tunku Khalsom sambil menambah ibunya membunyikan hon dan berfikir pemandu bas tersebut akan memperlahankan kenderaannya.
“Bagaimanapun, pemandu bas itu membalas balik hon mereka dan lebih teruk lagi, pemandu itu memasuki lorong kami dan memandu di depan kami.
Selepas ibunya berjaya memintas bas tersebut, dalam cubaan untuk “lari daripada orang gila yang berbahaya itu”, Tunku Khalsom berkata pemandu bas terus mengejar mereka, mencelah masuk dan keluar di antara kereta di belakang mereka seperti yang dapat dilihat dalam video.
Klip video itu juga menunjukkan pemandu bas itu menukar lorong berkali-kali tanpa memberi isyarat.
“Dia datang tepat ke belakang kami beberapa kali. Beliau cuba memintas kami, seperti saya tegaskan ibu saya perlahankan kereta dengan bayi saya di dalamnya tetapi pemandu bas itu berusaha untuk melintas kami.
“Kemudiannya dia memandu betul-betul di hadapan kami, sekejap-sekejap menekan brek dan tidak membenarkan kami memotongnya.
“Kami cuba beberapa kali untuk memintasnya, tetapi dia menghimpit kami hingga ke pembahagi lebuh raya,” kata Tunku Khalsom.
Video itu juga menunjukkan pemandu bas itu membuli keluarga Tunku Khalsom.
Tunku Khalsom berkata mereka berjaya mengelak daripada pemandu itu apabila tiba di plaza tol.
“Ini benar-benar jijik dan berbahaya, bagaimana orang sebegini dibenarkan memandu bas.
“Dia membahayakan nyawa penumpang dan semua orang di sekelilingnya, dan untuk apa? Hanya sedikit bunyi hon? Dia terang-terangan memandu dengan cara tidak selamat dan mengabaikan keselamatan orang di sekelilingnya,” katanya.
Mangsa juga sambil menggesa rakan dan orang ramai berkongsi video itu untuk memberi kesedaran mengenai sikap pemandu tidak bermoral itu.
Tunku Khalsom berkata dia dan ibunya memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan sedang menunggu jawapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan