Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz menempelak Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang menyelar beberapa pemimpin veteran parti itu kerana begitu lantang membidas kerajaan dan parti.
"Jangan banyak cakap... bayar balik setiap sen wang rakyat itu!” kata Rafidah kepada Malaysiakini.
Beliau merujuk laporan sebuah portal bahawa Perbadanan Feedlot Kebangsaan (NFC) masih berhutang lebih RM248 juta kepada kerajaan daripada RM250 juta pinjaman mudah yang diberikan.
Suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail adalah pengerusi syarikat itu, manakala anak-anak mereka pula adalah pengarahnya.
Walau bagaimanapun, SPRM “membersihkan” Shahrizat daripada sebarang pembabitan dalam pemberian kontrak itu dan pinjaman RM250 juta kepada NFC.
Terdahulu hari ini, pada satu majlis di Lembah Pantai, Shahrizat menyelar veteran Umno kerana begitu lantang membidas kerajaan dan parti selepas meletak jawatan kabinet mereka.
Tanpa menyebut nama, Shahrizat turut membidas Rafidah.
“Tapi mereka ini, ada yang saya baca tu, pompuan (perempuan).
“Pun! Adoi! Masa pegang jawatan dia bergempak-gempak. Dia dah tak ada jawatan, macam-macam pula fitnah dia nak buat,” kata Sharizat.
Rafidah menjawab dengan berkata tidak ada orang yang harus berfikir bahawa kerajaan dan pemimpinnya tidak boleh dikritik.
"(Ini) khususnya apabila isu berkaitan dengan skandal - seperti skandal lembu - dan semua perkara yang menjadi pengetahuan umum di seluruh dunia.
"Jangan beritahu saya 'sindrom burung unta' kini telah menjejaskan semua mereka yang dikaitkan dengan PM, bahawa mereka benar-benar lali dengan apa yang diperkatakan dunia?
"Hak demokratik saya untuk bercakap, dan menegakkan kebenaran," katanya.
Rafidah secara terbuka membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Shahrizat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dan telah mengisytiharkan sokongannya kepada Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan