"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Juruhebah radio ditahan miliki pistol, peluru

Bernama 


IPOH: Seorang juruhebah sebuah stesen radio ditahan selepas didapati memiliki senjata api dan peluru hidup dalam sekatan jalan raya oleh polis trafik di KM28, Kampung Bahagia, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, dekat sini, semalam.

Dalam insiden jam 8.30 pagi Khamis itu, sepasukan anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput menahan sebuah kereta jenis Toyota Wish berwarna kuning yang dipandu juruhebah berusia 47 tahun kerana didapati menggunakan lampu “beacon”.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, SAC Yahya Abd Rahman berkata pemeriksaan terhadap pemandu itu mendapati sepucuk pistol semi automatik jenama Walther bersama satu kelopak berisi 7 butir peluru hidup terselit di pinggangnya.

Susulan pemeriksaan di dalam kereta lelaki itu, katanya, polis menemui satu lagi kelopak peluru berisi 7 butir peluru hidup dan 18 butir perluru hidup dalam beg sandang yang diletakkan di tempat duduk penumpang depan.

“Jumlah keseluruhan peluru yang dirampas adalah 32 butir jenis 9mm,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Yahya, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui motif sebenar lelaki berkenaan memiliki senjata berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki pistol tanpa lesen dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.

Tiada ulasan: