Malaysiakini
Jika tidak mahu nama masing-masing didedahkan sebagai wakil rakyat yang culas atau ponteng, kata Pemuda Umno Malaysia, mereka wajar membuktikan diri masing-masing lebih baik berbanding budak sekolah.
Ketuanya Dr Mohamad Akmal Saleh berkata tugas seseorang ahli parlimen bukan sekadar terpekik terlolong dalam Dewan Rakyat atau berbahas dengan cara tidak matang.
Tugas mereka, katanya, adalah membawa suara rakyat dari kawasan masing-masing ke parlimen.
"Jadi sepatutnya mereka kena buktikan semua ahli parlimen adalah lebih baik daripada budak sekolah
"Bukan hanya terpekik terlolong dalam parlimen berbahas dengan tidak matang dan isu yang tidak membantu rakyat sekali pun," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di media sosialnya hari ini.
Dua hari lalu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, mencadangkan nama ahli-ahli parlimen yang sengaja ponteng sidang mungkin akan dipaparkan di laman web parlimen.
Langkah itu dibuat bagi memaklumkan orang ramai mengenai kesungguhan ahli parlimen masing-masing menjalankan tugas hakiki mereka.
Kata Johari antara adalah antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran ahli parlimen di Dewan Rakyat.
Menurutnya cadangan itu akan dibincangkan dengan jawatankuasa parlimen yang turut dianggotai wakil pembangkang.
"Saya akan bincang perkara ini kerana saya tidak boleh terus berikan arahan. Selepas perbincangan akan diputuskan bila akan mula.
"Seeloknya kita mulakan (paparkan nama di laman web) secepat mungkin, mungkin pada persidangan yang akan datang, ini antara penambahbaikkan yang kita akan buat kerana ia akan berikan peluang kepada masyarakat yang memilih mereka bertanya di manakah ahli parlimen berkenaan menghilangkan diri," kata Johari.
Menurut Mohamad Akmal dalam konteks pelajar, mereka diarah untuk hadir di sekolah pada setiap hari kerana memang itulah tanggungjawab mereka.
"Maka salah satu tanggungjawab ahli parlimen ialah hadir dan berbahas dengan matang mengenai isu rakyat di parlimen," katanya.
Dia turut memuat naik laporan media mengenai rasa tidak puas hati apabila terdapat cadangan untuk mendedahkan nama ahli parlimen yang ponteng persidangan.
Katanya ahli parlimen patut menunjukkan teladan yang baik sebagai seorang pemimpin untuk diteladani.
"Kalau budak sekolah kita minta mereka berdisiplin, kenapa tidak kita?" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan