Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
VAN dipandu pemegang kad UNHCR disita selepas dipercayai digunakan untuk aktiviti 'ulat' teksi di KLIA. FOTO Ihsan JPJ Selangor.
Sepang: Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dikesan menjadi 'ulat' teksi yang membawa pelancong dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kegiatan golongan itu dikesan menerusi Ops Patuh Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Plaza Tol KLIA di sini, semalam.
Difahamkan, ketika ditahan pemandu terbabit sedang membawa beberapa lelaki dipercayai pelancong dari Timur Tengah.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Burhani berkata, operasi bersepadu berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
"Hasil pemeriksaan mendapati van tersebut dipandu oleh pemegang kad UNHCR disyaki digunakan untuk perkhidmatan 'ulat' bagi membawa pelancong asing yang baru tiba.
"Notis saman telah dikeluarkan atas kesalahan Tiada Lesen Memandu, Salah Guna LKM dan kesalahan teknikal dan van berkenaan disita," katanya.
Sementara itu katanya, 995 notis dikeluarkan dan 307 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan sepanjang Ops Bersepadu Khas berkenaan di seluruh negeri Selangor.
Beliau berkata, antara kesalahan yang sering dikesan termasuk tiada lesen memandu, tiada vokasional GDL, cukai jalan tamat tempoh, cermin gelap, lebih muatan, ubah suai kenderaan dan kesalahan teknikal.
"Tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
"JPJ Selangor melalui kolaborasi bersama JSPT akan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya," katannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan