"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH akan beri Umno beberapa jawatan kampung

Amirul Aiman
Azmi Hassan percaya Umno boleh mempengaruhi dasar berkaitan hak Melayu dan Islam, manakala Oh Ei Sun yakin parti itu boleh menghalang ‘gelombang hijau’ pembangkang.
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik percaya Pakatan Harapan (PH) akan menyerahkan kepada Umno beberapa jawatan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Selangor, dalam usaha menarik sokongan pengundi Melayu di luar bandar.

Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata tidak mungkin semua tuntutan Umno dipenuhi PH, bagi melindungi kepentingan parti komponen kerajaan Selangor.

“Pakatan Harapan perlu mewujudkan suasana di mana Umno ada pengaruh di negeri itu dengan memberi mereka jawatan ketua kampung,” kata Azmi.

“Jawatan ini penting kerana mereka berurusan secara terus dengan rakyat di bawah, dan Umno mahu berurusan secara terus dengan pengundi Melayu,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, PH sepatutnya menawarkan Umno beberapa tempat dalam majlis tempatan juga, supaya parti itu dapat menunjukkan pengaruhnya terhadap dasar berkaitan Islam dan hak Melayu. Jika PH tidak melayan permintaan Umno, parti itu akan dilihat sebagai tidak mampu melindungi hak Melayu. “Sekali gus meletakkan kerajaan negeri dalam keadaan tidak menguntungkan,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, menjangkakan penyelesaian dapat dicapai, jika sebaliknya berlaku PH akan mengalami kesukaran mendapatkan undi Melayu tanpa sokongan Umno.

Beliau berkata, perjanjian “quid pro quo” tidak akan menggugat kerjasama kedua-dua parti. Sebaliknya, ia akan membantu menjelaskan pengagihan pelantikan politik antara PH dan Umno.

“PH mendapat jawatan majlis perbandaran manakala Umno mendapat jawatan kampung, yang hampir sama berkuasa dan ketara kepada penduduk kampung. Pada prinsipnya, susunan ini sepatutnya tidak menggugat kerjasama mereka,” kata Oh.

Beliau berkata, Umno masih boleh memainkan peranan positif dalam memastikan negeri itu tidak terjerumus kepada apa yang dipanggil sebagai “gelombang hijau” pembangkang pada masa depan.

Sabtu lalu, Umno Selangor mengembalikan 20 jawatan majlis tempatan kepada PH, tetapi menafikan mereka berbuat demikian sebagai satu bentuk protes. Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin, berkata parti itu berniat untuk memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar, yang didominasi Perikatan Nasional (PN).

Pada Khamis, beliau berkata hubungan Umno dan PH Selangor masih dalam keadaan baik, walaupun terdapat perselisihan mengenai jawatan majlis tempatan. Megat berkata beliau akan bertemu Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari, tidak lama lagi untuk membincangkan peranan Barisan Nasional di negeri itu.

Tiada ulasan: