Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
DOLLAH mengutip barang-barang yang diseliputi lumpur untuk dibersihkan selepas rumahnya dilanda banjir pada Khamis lepas semasa tinjauan di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, hari ini.
Dungun: Sudah menjadi kebiasaan penduduk Kampung Pasir Raja, di Hulu Dungun menghadapi banjir setiap kali musim tengkujuh bertandang, malah pusat pemindahan sementara (PPS) sudah diibarat rumah kedua buat kebanyakan mereka.
Bagaimanapun, banjir yang berlaku pada Khamis lalu disifatkan luar biasa dan tidak dijangka kerana air bah yang menenggelamkan kebanyakan rumah penduduk serta membawa bersama lumpur.
Penduduk, Ahmad Zainudin Doa, 61, berkata, kejadian terburuk pernah dihadapinya sepanjang lebih 30 tahun tinggal di kampung berkenaan.
Katanya, dia menyedari banjir berlaku apabila paras sungai semakin naik dan berarus serta banyak kayu hanyut.
"Tanpa membuang masa, saya segera membawa isteri ke PPS terlebih dahulu. Isteri menghidap kencing manis dan kaki kanannya dipotong.
"Jadi perkara pertama saya buat adalah selamatkan isteri dahulu apabila melihat keadaan air yang agak pelik," katanya ketika ditemui.
Ahmad Zainudin berkata, kedudukan rumahnya yang terletak berhampiran sungai membuatkan dia sentiasa peka dengan situasi semasa, namun kejadian lalu tidak dijangka.
Katanya, dia bersama keluarga sudah membuat persiapan dengan meletakkan barangan di tempat tinggi, namun semuanya tetap rosak akibat banjir.
"Pada musim banjir kali ini, sudah tiga kali rumah dinaiki air. Selalunya setinggi satu meter sahaja, namun Khamis lalu berbeza dan sebab itu, kerosakan dialami agak teruk," kata bapa tiga anak itu.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Irfan Zulkurnain, 21, juga tidak menyangka banjir kali ini hampir menenggelamkan rumahnya.
"Memang kampung ini pernah dilanda banjir besar pada 2014 tetapi keadaannya tidak seperti banjir yang berlaku Khamis lalu.
"Bayangkan, air naik cepat dan deras menyebabkan barang-barang yang sepatutnya tidak rosak kerana diletakkan di tempat tinggi turut terjejas.
"Lebih pelik, banjir kali ini membawa lumpur dan memang kebanyakan penduduk terutama yang berhampiran sungai terjejas akibat bencana ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan