FMT Reporters
PETALING JAYA: Penyertaan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, dibatalkan semasa saringan satu pusingan pertama acara keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris.
Penyertaan pelumba berusia 36 tahun itu dibatalkan kerana memintas ‘derny’ sebelum kenderaan perentak itu meninggalkan trek Velodrom Nasional Saint-Quentin-en-Yvelines.
Rayuan pasukan Malaysia terhadap pembatalan itu ditolak juri.
Azizulhasni tidak tersenarai dalam senarai pelumba pusingan repechage.
Malaysia meletak harapan pada Azizulhasni, yang sepatutnya bersaing dengan pelumba Australia, Perancis, Jepun, Belanda, dan Suriname, untuk meraih pingat emas pertama.
Saringan satu dimenangi pelumba Australia, Matthew Glaetzer; sementara pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland, di tempat kedua.
Harapan negara kini disandarkan pada Shah Firdaus Sahrom, yang berjaya memasuki pusingan repechage selepas menduduki tempat ketiga pada saringan lima.
Beliau perlu memenangi pusingan itu untuk mara ke suku akhir, yang dijadual berlangsung esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan