"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa nak jadi: 2 lelaki Indonesia ditahan, disyaki dalang sindiket cap imigresen palsu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua lelaki warga Indonesia disyaki dalang sindiket cap palsu ditahan dalam operasi imigresen di Taman Kepong Indah dan Taman Dagang, Ampang, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata, semakan mendapati dua lelaki itu, masing-masing dikenali sebagai ‘Padi’ dan ‘Amir’, yang kedua-duanya berusia 52 tahun, tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

“Suspek bernama ‘Amir’ pernah ditahan pada Jun tahun lepas atas kesalahan sama dan telah dihantar pulang ke negara asal serta disenaraihitamkan dalam sistem imigresen.

“(Dia bagaimanapun) dipercayai masuk semula ke Malaysia menggunakan pintu masuk yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Zakaria berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah menyediakan ‘perkhidmatan imigresen’ dengan menawarkan endorsemen masuk dan keluar dipercayai palsu bagi warga Indonesia yang berada di Lembah Klang dan telah tinggal lebih masa di negara ini.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak setahun lepas itu menggunakan platform seperti WhatsApp, Telegram dan TikTok untuk mencari pelanggan, dan mengenakan bayaran antara RM100 hingga RM350 bagi setiap endorsemen.

Dalam operasi itu, pihak imigresen menyita 20 unit cap keselamatan imigresen dipercayai palsu, 16 pasport Indonesia, empat Surat Perjalanan Laksana Paspor Indonesia, dua telefon bimbit, komputer riba, mesin pencetak dan mesin pengimbas, serta dua kenderaan yang disyaki digunakan sindiket terbabit.

Zakaria berkata, dua lelaki itu dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam operasi berasingan pada 2 petang semalam, pihaknya percaya berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan migran warga Bangladesh dikenali sebagai ‘Geng Shafik’ selepas menyerbu sebuah rumah di Petaling Jaya, yang disyaki digunakan sebagai tempat persembunyian dan transit pendatang haram.

Menurutnya, susulan pemeriksaan dalam rumah di kawasan lot kedai itu, sembilan lelaki Bangladesh yang disyaki diseludup masuk ke negara ini ditahan.

Berdasarkan maklumat awal, warga asing ini masuk ke negara jiran kira-kira dua hari lepas sebelum diseludup masuk ke Malaysia.

“Dua ahli sindiket warga Bangladesh yang berperanan sebagai fasilitator dan penjaga rumah transit turut ditahan,” katanya.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak Februari lepas dengan menyediakan perkhidmatan membawa masuk warga asing ke dalam negara menggunakan laluan negara ketiga dan masuk secara haram melalui Kelantan sebelum dibawa terus ke Lembah Klang dan dihantar ke destinasi tertentu.

Katanya, sindiket itu mengenakan kadar bayaran RM12,000 hingga RM15,000 bagi setiap individu yang diseludup dan dianggarkan mengaut keuntungan sebanyak RM1.6 juta sejak beroperasi.

Kesemua pendatang berusia antara 20 hingga 49 tahun itu ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Dalam perkembangan berasingan, Zakaria berkata, sebanyak 32 operasi penguatkuasaan dilaksanakan pada 4 Mei lepas dengan 150 pendatang tanpa izin ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, 13 majikan turut ditahan kerana disyaki menggajikan warga asing tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah dalam tempoh sama.

Tiada ulasan: