"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pegawai polis menyamar wanita, cabul remaja lelaki

Agensi

Singapura: Seorang bekas pegawai polis lelaki dipenjara tiga tahun dan dikenakan empat sebatan selepas mencabul seorang pelajar lelaki, dengan menyamar sebagai wanita.

Memetik The Straits Times, secara berasingan, dia juga memujuk dua budak lelaki berusia 15 tahun untuk melakukan aksi seksual melalui panggilan video pada masa yang berbeza termasuk merakam aksi berkenaan.

Sharizal Shafi'ee, 40, dijatuhkan hukuman pada 29 Mei lalu selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan, termasuk pencabulan dan rakaman video, yang berlaku pada 2023 dan 2024.

Difahamkan, 10 lagi pertuduhan membabitkan kesalahan serupa terhadap sekurang-kurangnya tiga mangsa lain turut diambil kira dalam hukuman yang dijatuhkan.

Menurut pihak polis, Sharizal, yang bersama Pasukan Polis Singapura selama 17 tahun, dilucutkan daripada tugas barisan hadapan sebelum dia meletak jawatan pada Jun 2024.

Memetik media sama, pada 18 April 2024, dia dilaporkan berpakaian seperti wanita, bersolek dan pergi ke sebuah sekolah menengah, di mana dia meminta bantuan pelajar untuk membetulkan pakaian dalamnya.

Selepas seorang budak lelaki berusia 15 tahun bersetuju untuk membantunya, dia kemudian membawa pelajar itu ke tangga di blok berdekatan lalu mencabulnya.

Susulan itu, Sharizal dikesan oleh pegawai polis sebelum ditahan 10 hari kemudian.

Siasatan juga mendedahkan, dia sudah merakam sekurang-kurangnya 32 lelaki melakukan aksi seksual di telefonnya serta mengaku menyamar sebagai wanita di media sosial untuk berhubung dengan lelaki lain.
-hmetro

7 cedera, nahas dua bas persiaran, Aruz di Genting Highlands

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
KEADAAN bas yang terlibat dalam kejadian kemalangan di Kilometer 15 Jalan Genting Highlands-Genting Sempah di Bentong hari ini.
BENTONG – Seramai 70 orang penumpang dua buah bas melalui detik mencemaskan apabila bas yang mereka naiki terlibat dalam kejadian kemalangan ketika menuruni Genting Highlands di Kilometer 15 Jalan Genting Highlands-Genting Sempah di sini hari ini.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu menyaksikan sebuah bas persiaran telah hilang kawalan dan melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Jenis Perodua Aruz sebelum melanggar sebuah lagi bas persiaran.

Akibat kejadian menyebabkan sebuah bas terbalik manakala sebuah lagi bas mengalami remuk teruk pada bahagian depan manakala SUV remuk teruk pada bahagian belakang.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya tujuh orang mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, bomba yang tiba di tempat kejadian pada pukul 6.06 petang mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu dua buah bas persiaran dan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz.

“Salah sebuah bas persiaran yang membawa seramai 36 orang penumpang telah terbalik, mengakibatkan tujuh orang mengalami kecederaan dan sebuah lagi bas persiaran yang membawa seramai 34 penumpang dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Manakala, tiga orang mangsa yang berada di dalam kenderaan Perodua Aruz dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya di sini hari ini.

Tambahnya tiada mangsa yang tersepit dan kesemua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan masing-masing. – KOSMO! ONLINE

‘Kapal hantu’ meletup, terbakar, 3 pekerja nyaris maut

FMT Reporters

Ketika kejadian, tiga pekerja termasuk dua warga asing sedang jalankan kerja guna pemotong gas oksigen di atas kapal, kata polis.
Anggota bomba tiba di lokasi kejadian pada 3.23 petang dan berjaya kawal kebakaran kira-kira sejam kemudian.
PETALING JAYA: Tiga pekerja nyaris maut selepas sebuah kapal tangki dipercayai ‘kapal hantu’, yang ditemui hanyut di perairan Terengganu tahun lepas, meletup dan terbakar di sebuah jeti di Kemaman, petang tadi.

Ketua Polis Kemaman Mohd Razi Rosli berkata, ketika kejadian, tiga pekerja termasuk dua warga asing berusia antara 39 hingga 46 tahun sedang menjalankan kerja pemotongan besi menggunakan pemotong gas oksigen di atas kapal itu.

Beliau berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian berlaku di Jeti Glorious Innovation, Kampung Bukit Kuang, itu pada 3.18 petang.

“Ketika kerja dijalankan, secara tiba-tiba berlaku letupan kecil pada kapal tangki itu lalu terbakar.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga pekerja sempat turun dari kapal untuk menyelamatkan diri,” katanya, lapor Bernama.

Anggota bomba yang tiba di lokasi pada 3.23 petang berjaya mengawal kebakaran kira-kira sejam kemudian, tambahnya.

Mohd Razi berkata, kapal tangki sepanjang 53.7m dan selebar 10m itu terbakar di bahagian tengah dengan anggaran kemusnahan kira-kira 45%.

Menurutnya, punca letupan dan kebakaran masih disiasat forensik bomba.

Pada Ogos lepas, media melaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan sebuah kapal tangki seberat 292.9 tan yang hanyut berhampiran Pelantar Minyak Semangkok A di perairan Terengganu.

Kapal digelar ‘kapal hantu’ itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden sebuah kapal tangki yang terbakar di perairan Tanjung Sedili, Johor, pada bulan sama.