"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ini berita buruk yang baik

Najib Razak masih enggan berundur. Ini berita amat buruk untuk rakyat Malaysia. Sabar dahulu. Berita buruk Najib Razak enggan berundur ini juga adalah berita yang amat baik.

Dalam ilmu falsafah perkara sedemikian dipanggil “kesatuan yang bertelagah” atau “unity of the opposite’.

Dalam tulisan ini saya akan beri pencerahan untuk memahami bagaimana berita buruk ini boleh menjadi baik. Ini samalah seperti kita memahami bagaimana tahi lembu atau najis manusia boleh membantu manusia.

Bersih berjaya menghasut 500,000 orang rakyat Malaysia turun ke jalan raya. Ini adalah tanda undi tidak percaya kepada Najib Razak.

Sesudah BERSIH 4, kita terus membaca pelbagai berita yang berkaitan dengannya. Semuanya memberi gambaran bahawa suami Rosmah Mansor yang bernama Mohd Najib bin Abdul Razak masih enggan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri Malaysia. Suami Rosmah semakin dilihat degil.

Kenyataan dan tindakan politik Najib saban hari menyakinkan saya dan meyakinkan warga Malaysia bahawa suami Rosmah ini ingin terus berkuasa sampai hari kiamat. Suami Rosmah mahu terus memimpin parti United Malays National Organisation dalam PRU14.

Buktinya, paling baru ialah kenyaatan Abdul Hamid Bador bekas timbalan pengarah Cawangan Khas (SB). Bekas pegawai polis ini membocorkan berita di mana si Rosmah Mansor turut hadir dalam satu “mesyuarat tergempar”.

Mesyuarat tergempar kerajaan ini didakwa dipengerusikan oleh Najib sendiri. Turut hadir ialah Zahid Hamidi dan pegawai tinggi kerajaan.

Kuasa bomoh

Apa ke jadahnya Rosmah Mansor berada dalam mesyuarat tergempar kerajaan? Ini satu pertanyaan tapi dalam masa yang sama ianya juga satu kenyataan. Ini yang dikatakan dalam ilmu falsafah – “kesatuan yang bertelagah”.

Laporan bahawa Rosmah berada dalam mesyuarat kerajaan sebenarnya tidak lagi memeranjatkan Malaysia. Malah berita ini memperkuatkan lagi keyakinan umum bahawa sebenarnya Najib Razak ini telah menjadi bangkai bernyawa yang berlakon mengikut arahan telunjuk Rosmah Mansor.

Justeru, pembocoran berita dari bekas pegawai Cawangan Khas ini mensahih dan memperkuatkan satu lagi berita yang telah dibocorkan oleh Mahathir Muhamad.

Mengikut Mahathir, si Rosmah ini sedang menggunakan kuasa bomoh untuk mempertahankan suaminya. Menurut Mahathir, si Rosmah ini menggunakan khidmat bomoh dari India dan Jawa.

Awas, ini bukan fitnah. Ini kata-kata dari Mahathir Muhamad. Mahathir Muhamad ini bukan tukang kebun sekolah. Mahathir bukan pakcik warung. Mahathir ialah bekas perdana menteri Malaysia.

Jadi persoalan timbul – apakah ini bermakna 30 juta rakyat Malaysia sedang bertempur dengan Guru Ji – bomoh Rosmah dari India?

Sekali pandang, kesemua berita ini kelihatan seperti berita buruk. Tetapi hakikatnya semua berita ini adalah berita baik. Semua sedang membantu rakyat Malaysia untuk membenci parti United Malays National Organisation.

Kedegilan suami Rosmah ini semakin jelas dilihat. Kritikan dan tuntutan agar suami Rosmah ini melepaskan jawatan telah datang dari pelbagai sudut.

Najib ditibai kiri dan kanan

Beberapa bahagian parti United Malays National Organisation telah meluluskan resolusi menuntut suami Rosmah berundur. Ini berlaku dalam mesyuarat tahunan parti.

Tidak cukup dengan ini – suami Rosmah yang juga presiden parti ini telah disaman oleh ahli parti sendiri. Saman-saman ini bersangkutan dengan kes duit RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi suami Rosmah.

Kes putar alam duit derma Tok Arab suami Rosmah ini bukan hanya ditimbulkan oleh parti pembangkang. Kes rasuah suami Rosmah ini telah menjadi kes antarabangsa.

Persidangan Anti-Rasuah Antarabangsa baru sahaja selesai. Malaysia dan SPRM telah menjadi tuan rumah. Dalam persidangan ini suami Rosmah telah ditibai kiri dan kanan.

Seorang demi seorang delegasi antarabangsa telah bangun bertanya tentang hal duit 2.6 bilion ringgit yang masuk ke dalam akaun peribadi suami Rosmah.

Bayangkan, dalam satu persidangan dunia seramai lebih 1,000 delegasi antarabangsa telah ketawa berdekah-dekah apabila seorang ahli Parlimen dari Kenya bertanyakan tentang duit ‘derma’ dari Tok Arab kepada suami Rosmah.

Soalan dari Kenya ini satu gambaran yang amat berat. Apabila kayu sudah condong bukan sahaja kura-kura datang memanjat malah Mat Bangla sudah berani bergayut dan berak.

Sekali lagi saya nyatakan bahawa semua ini kelihatan amat amat buruk untuk imej Malaysia. Tetapi di sebalik keburukan ini ada hikmahnya. Seperti membuat tapai, kita memerlukan masa agar ragi dan pulut betul-betul masam sebelum nikmat tapai dapat dirasakan.

Mahathir jadi Mahazalim

Masa dan waktu kedegilan suami Rosmah ini wajib dijadikan masa dan waktu untuk mengolah persetujuan orang ramai bahawa masanya telah sampai untuk menumbangkan kerajaan di bawah pimpinan suami Rosmah Mansor.

Rosmah Mansor dan Najib Razak kini telah menjadi ikon kebencian rakyat. Maka secara terancang, secara tersusun, orang ramai, anak-anak muda dan bakal pengundi boleh dihasut dengan menggunakan nama Rosmah Mansor.

Sekitar tahun 1998/99, saya pernah menulis bahawa Mahathir Muhamad wajib digambarkan sebagai susuk yang zalim di media. Ini merupakan pencerahan dari segi strategi politik. Kezaliman ini menjadi bahan hasutan kepada anak-anak muda untuk turun ke jalan raya.

Gerakan Reformasi berjaya – Mahathir Muhamad dinobatkan sebagai Mahazalim.

Sesudah Mahathir letak jawatan, strategi media juga beralih dari Mahathir yang zalim kepada Dolah Badawi yang bebal. Dolah digambarkan selalu tidur. Sering dolak-dalik, sering tak tahu kiri atau kanan. Sering terlupa. Malah saya mementaskan teater Tok Sloo untuk menyebarkan hasutan.

Akhirnya usaha ini berjaya – Abdullah Ahmad Badawi dinobat sebagai Mat Bebal atau Tok Sloo.

Tetapi apabila melihat ke belakang saya sedar saya telah melakukan kesilapan yang amat besar ketika itu. Kempen Mat Bebal aka Tok Sloo ini berjalan cepat.

Belum sempat ranum Dolah Badawi telah diturunkan dari takhta. Dari segi strategi politik jangka panjang, adalah amat molek jika Dolah Badawi terus berkuasa agar ‘tapai’ betul-betul ranum untuk dilingkupkan.

Tunggu masa

Sayang, tetapi dari kesilapan ini kita wajib mengumpul pengalaman dan jadikan kesilapan sebagai ilmu pedoman.

Justeru, pada tahap ini kempen menghasut orang ramai wajib menggunakan imej Rosmah Mansor. Ini sama saperti yang sedang dilakukan oleh Zunar dalam karikaturnya.

Imej Rosmah digunakan kerana umum sedar bagaimana Najib kini telah dibomoh dan dikontrol oleh Rosmah. Budaya bomoh dan budaya ‘nasi kangkang’ ini wujud dalam pandangan dunia alam Melayu. Justeru ianya menjadikan kerja propaganda politik senang dan ampuh.

Strategi politik berjangka panjang kita ialah agar suami Rosmah ini terus berdegil seperti perangainya hari ini. Kita harapkan Tok Bomoh yang ditaja oleh Rosmah akan sentiasa membakar kemenyan dan Guru Ji dari India akan terus membawa api sembahyang mengelilingi Putra Jaya.

Kita sedar kedegilan suami Rosmah ini sedang mengharu-birukan United Malays National Organisation. Parti ini sedang dihantui oleh krisis.

Dua kumpulan sedang mengumpul kekuatan. Satu berkumpul di belakang Muhyiddin dan satu lagi sedang dipayungi oleh Tok Bomoh Rosmah.

Ketika musuh kita huru-hara berkrisis kita juga wajib berkempen secara terbuka menuntut suami Rosmah ini meletakkan jawatan. Dari segi mengolah persetujuan politik, kita akan dilihat bebal jika tidak menuntut suami Rosmah berundur.

Tuntutan agar Najib berundur ini kita lakukan khusus untuk media dunia. Kita juga akan dilihat bebal oleh media antarabangsa jika kita tidak bangun melawan dan menuntut suami Rosmah mengundur. Justeru BERSIH 4 adalah sebahagian dari taktik untuk mengolah persetujuan media dunia.

Demi tujuan sama

Setakat ini apa yang kita lakukan telah berjaya. CNN, BBC, NBC, RT – The Guardian, The Age, Sydney Morning Herald, South China Morning Post, The New York Times, Boston Globe, Wall Street Journal, Jakarta Post, The Times of London.. dan dan dan.... Hampir seluruh media dunia telah bersama memerangi suami Rosmah. Ini satu kejayaan.

Taktik mengolah persetujuan media barat ini digunakan oleh anak-anak muda ketika menjatuhkan Marcos. Taktik yang sama telah dijalankan ketika anak muda ke jalan raya menjatuhkan Suharto. Malah Hosni Mubarak dari Mesir jatuh terlungkup melalui gerakan jalan raya yang disadur dengan laporan media barat.

Jangan merasa segan dan malu apabila menggunakan media barat. Kita secara sedar menggunakan media barat kerana media barat ini mempengaruhi suasana pelaburan.

Kita sedar tugas utama media barat saperti New York Times, The Economist, Wall Street Journal bukan untuk memperkukuh demokrasi, hak asasi atau keadilan.

Media barat juga sama hampeh macam Utusan. Kalau Utusan menjaga kepentingan United Malays National Organisation, media barat menjaga kepentingan kaum pemodal antarabangsa.

Dalam kes suami Rosmah kita bertemu dan bekerjasama. Ini yang saya katakan “kesatuan yang bercanggah”. Kali ini kepentingan kita yang mahu menjatuhkan rejim United Malaya Nayional Organisation selari dengan kepentingan kaum pemodal antarabangsa.

Jangan anggap Hishamuddin Rais tidak kenal siapa di belakang CNN, atau BBC atau New York Times atau Wall Street Journal. Tetapi pada ketika ini kepentingan kita bertemu di lorong yang sama. Maka saya ucapkan ah lan wa sahlan. Lagi banyak laporan mengutuk Malaysia atau suami Rosmah lagi baik untuk warga Malaysia.

Semalam Majlis Tertinggi United Malays National Organisation bersidang. Apa yang menjadi perhatian adalah persoalan sama ada Muhyiddin dibuang atau tidak. Tetapi, jika Muhyiddin diterajang, ianya baik untuk kita. Muhyiddin tidak diterajang pun baik untuk kita.

Apa yang saya tidak mahu ialah tapai belum ranum dan suami Rosmah kena terajang. Jika ini berlaku bermakna Tok Bomoh dari India dan Jawa telah lembik. Ini sahih satu berita buruk.
-malaysiakini-

DAP beri kata dua kepada Azmin Ali, pilih PAS atau DAP

PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP meminta Menteri Besar Selangor, Azmin Ali menyatakan pendirian sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bekerjasama dengan PAS jika pakatan Pembangkang baru diwujudkan.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, Azmin perlu membuat pilihan sama ada bekerjasama dengan DAP atau PAS kerana hubungan kedua-dua parti itu tidak lagi sehaluan.

"Azmin perlu pilih untuk bekerja dengan yang mana satu pada masa akan datang, kerana tidak lagi realistik untuk pakatan antara DAP dengan PAS," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas berlaku 'perang' di media sosial antara Azmin dengan Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching berikutan kesediaan Azmin untuk bekerjsama dengan PAS.

Ramkarpal berkata, kenyataan Azmin itu tidak tepat kerana ketegangan dalam Pakatan Rakyat yang membawa kepada perpecahan pakatan rakyat berpunca daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, tindakan Hadi bukan sahaja mencetuskan kontroversi dengan DAP tetapi juga dengan ahli-ahli partinya sendiri yang bertindak membentuk Parti Amanah Negara (PAN).
-mstar-

Mudahnya orang PAS melabel Agamawan Yang Tidak Sehaluan Dengan Mereka Sebagai Agamawan Jahat

Agamawan Yang Memburukkan Wajah Islam
Kenapa masih ramai yang mudah tertipu dengan agamawan-agamawan jahat? Mereka justifikasikan tindakan pihak yang menyebelahi mereka dengan berbagai hujah agama. Mereka sembunyikan sisi-sisi buruk dan sengaja mengemukakan sisi-sisi khilaf agar boleh menegakkan benang basah.

Secara jelas YB-YB yang melompat parti bersama jawatan wakil rakyat adalah perbuatan KHIANAT. Ini isu utama yang menjadi pertelingkahan sekarang. Tak perlu dalil agama, moral manusiawi pun akan kata ini perbuatan jahat. Bahkan mereka-mereka juga pernah mengatakan dahulu apabila ada wakil rakyat PKR dan DAP lompat ke parti lain, berbagai fatwa dikeluarkan mencemuh tindakan tersebut. Tapi hari ini, mufti dan agamawan inilah yang sedaya upaya menutup perkara ini dengan menimbulkan isu-isu lain bersifat sampingan dan sensitif tetapi sengaja diperbesarkan.

Apa yang dilakukan oleh YB-YB adalah KHIANAT dan MELANGGAR PERJANJIAN. Perjanjian mereka sebelum ini adalah untuk meletakkan jawatan sekiranya keluar dari PAS. Tetapi ada mufti yang menyesatkan manusia menyatakan perbuatan itu tidak mengapa, boleh diselesaikan dengan hanya membayar kafarah sahaja. Ajaran apakah ini?

Jangan belitkan sumpah dengan perjanjian. Sumpah adalah perkara-perkara yang dibuat tanpa penglibatan risiko pihak lain. Sedangkan perjanjian berkait dengan pemberian hak pihak lain kepada yang berjanji.

Kalaulah melanggar perjanjian dalam Islam semudah membayar kafarah sahaja, maka adakah halal seseorang yang meminjam wang 2.6 bilion dan berjanji memulangkannya kembali, boleh melanggar janji tersebut hanya dengan kafarah sembelih kambing dan jamu orang miskin lalu menyapu percuma 2.6b?

Adakah halal seorang jurujual kereta yang buat perjanjian menjual kereta syarikat, melanggar perjanjian dengan melarikan kereta dan hanya bayar kafarah?

Wakil-wakil rakyat sebelum dicalonkan PAS, mereka terlebih dahulu berjanji akan taat setia kepada parti dan melaksanakan amanah parti. Jika mereka enggan, mereka berjanji untuk melepaskan jawatan. Apa yang lebihnya perjanjian ini adalah, mereka turut diminta bersumpah dengan nama Allah dan demi agama Allah lalu jadilah ia sebuah baiah. Berbeza dengan orang yang bersumpah "akan berjalan kaki ke Mekah", dimana itu sumpah yang boleh dibatalkan dengan kafarah sahaja kerana tidak melibatkan kerugian yang ditanggung pihak lain.

Samalah halnya beza orang yang melakukan dosa dengan Allah dan dosa sesama manusia. Menurut Imam Nawawi dosa dengan Allah seperti meninggalkan solat, zina dan hasad dengki boleh diselesaikan dengan bertaubat, tetapi dosa yang berkaitan dengan manusia seperti mencuri, mencederakan atau menipu tidak cukup dengan bertaubat, tetapi wajib meminta maaf dan menyelesaikan segala tuntutan orang tersebut. Barulah Islam akan dilihat adil.

Sikap mufti dan agamawan berat sebelah ini hanya memburukkan wajah Islam di mata masyarakat. Betapa mudahnya ajaran Islam menghalalkan tindakan mungkir janji hanya dengan kafarah. Kerugian yang ditanggung pihak lain langsung tidak terbela. Bagaimana bukan Islam mahu tertarik dengan sekiranya khianat dihalalkan dengan upacara tertentu sahaja? Agamawan sepatutnya menunjukkan keadilan Islam. Mereka mesti berpandangan secara menyeluruh. Faham dulu situasi sebenar sebelum gelojoh menjawab.

Saya amat menyanjungi sikap mufti Wilayah Persekutuan. Beliau mengeluarkan suatu tulisan menggambarkan Islam sebenar iaitu kewajipan akur kepada janji. Namun ia seolah tidak mendapat sambutan lantaran fatwanya berbeza dari nafsu serakah mereka yang gila kuasa. Maka tanggunglah wahai para agamawan yang tidak jujur dalam berpendapat sehingga menghodohkan kejernihan Islam. Wallahu ma aqulu wakil.

Kepada Dr Maza, UZAR, Dr Rozaimi dan seangkatan dengannya, bacalah pesan orang biasa ini. Kepada umat Islam dan bukan Islam, jangan salah sangka. Apa yang mereka nyatakan bukanlah gambaran Islam yang sebenar.

(Alang Ibn Shukrimun)