"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ismail Sabri nafi jumpa Muhyiddin di Jakarta, arah peguam saman fitnah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan beliau “merancang sesuatu” bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin di Jakarta, baru-baru ini.

Beliau dipetik Malaysiakini memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebaran “fitnah” berkenaan.

Dakwaan itu tersebar gara-gara ketidakhadirannya dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 8 Dis lalu.

“Kalau nak fitnah orang pun, biarlah munasabah sikit. Kalau dalam rekod imigresen saya tak keluar negara, maknanya saya dalam negaralah.

“Saya sudah pun mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pemfitnah,” katanya.

Selain Ismail, seorang lagi naib presiden Umno, Mahdzir Khalid juga tidak menghadiri mesyuarat tersebut.

Mesej di media sosial yang dikongsi berulang kali oleh individu tidak dikenali mendakwa Ismail dan pemimpin Umno yang tidak hadir mesyuarat MKT Umno pada malam itu berada di Jakarta dan “sedang merancang sesuatu”.

Menggelarnya “Langkah Jakarta”, Muhyiddin juga dikatakan turut berada di republik itu.

Sementara itu, Ismail berkata, beliau berada di Bera makan nasi daun pisang bersama seorang wartawan veteran ketika mesyuarat MKT diadakan. Tetapi, lokasinya tidak didedahkan.

Pada sebelah malamnya pula, kata Ismail, beliau berada di kawasan Parlimennya di Bera untuk perasmian perlumbaan kereta pacuan empat roda terkenal, Rainforest Challenge International (RFC).

Ini bukanlah kali pertama Ismail berdepan dakwaan sedemikian. Sebelum ini, beliau dan beberapa pemimpin BN turut didakwa menghadiri pertemuan tertutup bersama parti dari gabungan lain.

Khabar angin itu tersebar ketika BN dilihat terbahagi kepada dua kem – antara mereka yang menyokong kerajaan perpaduan dengan PH dan yang tidak bersetuju.

Orang ramai ‘sekolahkan’ Presiden Pas

FAZLI RADZI

Orang ramai dilihat tampil ‘sekolahkan’ Datuk Seri Abdul Hadi Awang susulan dakwaan Presiden Pas, antara lain kononnya wujud kumpulan penyokong pembentukan kerajaan ketika ini yang berpaksi kepada perjuangan ideologi pragmatik yang disembunyikan.

Katanya, kumpulan tersebut berpura-pura dengan wajah yang dapat menarik kalangan beragama sehingga boleh ditipu atau disebabkan oleh jahil agama atau tidak beragama.

Reaksi Ahli Parlimen Marang itu dilihat berkemungkinan berkaitan Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana, Putrajaya kelmarin.

Ekoran kenyataan terbaharu Abdul Hadi menerusi hantaran di Facebook hari ini, dilihat mengundang kecaman orang ramai selain menasihatkannya supaya fokus menjadi pembangkang yang matang.

“Bukan berpura-pura tapi move on, berlapang dada dan hormati titah Yang di-Pertuan Agong.

“Secara peribadi, teramatlah dukacita berkenaan politik negara. PRU-15 sudah tamat, sama-samalah bangunkan negara. Di pihak pembangkang, mainkan peranan semak dan imbang polisi kerajaan.

“Cukuplah haji oii hasut sana-sini, tuduh sana sini. Kerajaan dah dipilih. Majlis Raja-Raja setuju. Dah tiada masa nak politik saja. Cukup-cukuplah nak main-main politik. Kita bantu pemerintahan sedia ada. Doa yang terbaik,” demikian antara nasihat orang ramai.

Dakwaan ‘tiada akhlak’ - Anwar heret MB Kedah ke mahkamah

Hidir Reduan Abdul Rashid

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung ucapannya semasa kempen pilihan raya di Tambun.

Peguam pengerusi Pakatan Harapan (PH) daripada firma guaman SN Nair & Partners memfailkan writ saman terhadap pesuruhjaya PAS Kedah itu di Mahkamah Tinggi Alor Setar petang tadi.

Ketika dihubungi media, peguamnya, Sankara Nair mengesahkan bahawa tindakan sivil itu difailkan sekitar 4.30 petang tadi. Anwar menyaman atas kapasiti peribadinya.

Sebelum ini, peguam ahli Parlimen Tambun itu mengeluarkan surat tuntutan meminta ganti rugi daripada Sanusi atas dakwaan memfitnahnya pada 13 November lalu ketika berkempen untuk n calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Faizal Azumu.

Anwar memenangi kerusi Parlimen itu pada ilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.

Menurut salinan pernyataan tuntutan saman itu, kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook bernama “Faizal Azumu”.

Anwar mendakwa kenyataan itu, antara lain mengandungi dakwaan bahawa dirinya "tidak berakhlak".

Plaintif berhujah bahawa kenyataan itu adalah fitnah, palsu dan memperlekehkan dirinya.

Anwar mendakwa kenyataan itu antara lain membayangkan dirinya bukan seorang Muslim yang baik dan menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Pada 2018, plaintif telah diberikan pengampunan diraja berhubung kes liwat yang melibatkan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Anwar mendakwa bahawa selepas surat tuntutan dikeluarkan pada 16 Nov, peguam Sanusi telah menulis balik dan membuat pengakuan tidak berbelah bahagi akan fakta bahawa defendan mengucapkan/mengungkapkan kata-kata memfitnah tersebut dan kandungan di dalamnya.

Melalui saman sivil, plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan.

Anwar juga memohon injunksi untuk menghalang Sanusi daripada terus mengeluarkan atau menerbitkan kata-kata fitnah terhadapnya.

Plaintif juga menuntut faedah lima peratus ke atas jumlah penghakiman dari tarikh tindakan undang-undang terakru sehingga penyelesaian penuh, kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.