"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah kekal hukuman mati bekas tentera bunuh anak kandung

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan hukuman mati dijatuhkan ke atas bekas tentera kerana membunuh anak perempuannya yang berusia sembilan tahun, tujuh tahun lalu.

Hakim Azmi Ariffin berkata Abdullah Mohamed harus dikenakan hukuman paling berat atas tindakan ganas tidak berperikemanusiaan yang dilakukannya terhadap kanak-kanak yang tidak berdaya itu.

Beliau berkata Abdullah telah mendera mangsa dengan kejam sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah di bahagian perut. Dia juga menendang dan memijaknya sehingga dia mati.

Hakim menyatakan bahawa undang-undang itu telah dipinda dua tahun lalu untuk memberi mahkamah budi bicara menjatuhkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun.

“Kami bagaimanapun, mengekalkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi atas alasan kepentingan awam dan sebagai pencegahan kepada bakal pesalah,” katanya ketika menolak rayuan Abdullah terhadap sabitan dan hukumannya.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azman Abdullah turut mendengar rayuan itu.

Azmi berkata hakim bicara tidak melakukan sebarang kesilapan undang-undang atau fakta untuk mewajarkan campur tangan rayuan.

“Pembelaan perayu adalah penafian terbuka dan ia (pembelaan) tidak dimajukan pada peringkat pendakwaan,” katanya.

Abdullah, 43, masih mempunyai hak untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Dia didapati melakukan kesalahan itu terhadap Nur Aina Nabihah di sebuah rumah di Lukut, Port Dickson, pada 31 Jan 2018.


Pada 22 Ogos 2023, beliau disabitkan kesalahan oleh Hakim Rohani Ismail dan dijatuhi hukuman mati.

Peguam Afifuddin Hafifi dan Aina Melina Johan Ariff Lim mewakili Abdullah, manakala Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa mewakili pendakwaan.

Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara didakwa terima rasuah Range Rover Sport

Meor Riduwan Meor Ahmad
Mohamad Ali (tengah, depan) diiringi pegawai SPRM Melaka selepas prosiding kes beliau di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini. Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.
Mohamad Ali (tengah, depan) diiringi pegawai SPRM Melaka selepas prosiding kes beliau di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini. Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.
AYER KEROH: Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah sebuah Range Rover Sport daripada pengarah sebuah syarikat subkontraktor, 10 tahun lalu.

Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Ali sebagai pengarah urusan sebuah syarikat pemaju didakwa secara rasuah menerima satu suapan, iaitu kenderaan Range Rover Sport nombor pendaftaran MCR 2 daripada pengarah syarikat lain bergelar datuk.

Ia sebagai dorongan untuk menganugerahkan kepada syarikat terbabit kerja-kerja subkontraktor 'mengekstrak, mengangkut dan memunggah pasir laut di kawasan simpanan ditetapkan berhubung kerja penambakan Pantai di Melaka' yang dinilai pada kadar RM6.50 bagi setiap meter kubik pasir laut, bagi projek 'Cadangan Menambak Laut Dan Semua Kerja Berkaitan seluas 89.03 hektar di Kota Laksamana'

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat terbabit di Taman Kota Syahbandar, dekat sini pada Jun 2015.

Mohamad Ali didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan Mohamad Ali telah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 18 Jun lalu atas 20 pertuduhan rasuah dan dibenarkan jaminan RM60,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Katanya, pendakwaan tidak menawarkan jaminan bagi kes hari ini dan mencadangkan mahkamah mengguna pakai syarat dan jaminan seperti diputuskan di Mahkamah Shah Alam.

"Pendakwaan juga akan memfailkan permohonan pada tarikh sebutan 27 Julai depan di Mahkamah Shah Alam supaya semua kes di sana dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 1 di Melaka untuk dibicarakan bersama.

"Tarikh sebutan baharu ditetapkan selepas tarikh itu," katanya.

Peguam Md Yunos Shariff mengesahkan jaminan dan syarat berkenaan serta tidak membantah cadangan pendakwaan untuk perbicaraan bersama kes di Mahkamah Shah Alam dan Melaka.

Hakim Elesabet Paya Wan kemudian membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 14 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pada 18 Jun lalu, Mohamad Ali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 20 pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM235,000 dan tiga kereta mewah berhubung projek tambak laut di Melaka.

Cuai sebabkan kemalangan maut, penunggang basikal dijel sebulan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Seremban menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas seorang lelaki yang mengaku bersalah menunggang basikal secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut tahun lalu.

Sinar Harian melaporkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah mengarahkan hukuman itu bermula tarikh K Selva Natchathiram, 56, ditangkap pada 29 Mei lalu.

Tertuduh didakwa menunggang basikalnya tanpa kecermatan dan perhatian sewajarnya atas jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan di depan sebuah pasar raya di Taman Desa Anggerik, Seremban kira-kira 2.55 petang 27 Mac 2024.

Dida didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dibaca bersama Seksyen 54(1) akta sama dan boleh dihukum bawah Seksyen 54(2) APJ memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 serta boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dihukum penjara kerana tidak mampu membayar denda dan hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Mengikut fakta kes, kemalangan berlaku ketika penunggang basikal dari arah Ampangan ke Senawang itu membelok ke simpang kanan, sebelum dilanggar seorang penunggang motosikal Yamaha 135LC dari arah bertentangan.

Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berusia 28 tahun yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi.