Presiden Yong Teck Lee berkata pinjaman RM601 juta ini menimbulkan kecurigaan kerana ia adalah pinjaman terbesar yang pernah dilulus dan diberikan bank milikan kerajaan negeri Sabah itu.
"Kelompok perniagaan tempatan tahu bank-bank amat sukar untuk meminjamkan wang mutakhir ini berikutan krisis kewangan global, tetapi SDB nampaknya tidak tahu atau tidak peduli," kata Yong seperti yang dilapor portal berita Malaysiakini.
Perspektif Masa mendapat pinjaman tersebut dari SDB bagi membiaya projek kondominium bernilai RM1.5 bilion di Ampang, dan SDB digesa menjelaskan apakah pinjaman ini mendapat kelulusan kerajaan negeri.
Yong menegaskan pinjaman sebesar itu jika diagihkan di dalam negeri akan membantu memacu ekonomi Sabah menghadapi kemelesetan ekonomi, walaubagaimanapun SDB memutuskan untuk meminjamkan wang itu kepada Perspektif Masa Sdn Bhd seolah-olah Sabah tidak memerlukan dana.
"Rakyat Sabah berhak tahu apakah SDB telah bertukar peranan dan bukan lagi institusi kewangan utama memacu pembangunan ekonomi Sabah," kata bekas Ketua Menteri Sabah itu.
Perspektif Masa sebelum ini menarik perhatian umum apabila ia terbabit dalam perobohan kawasan perkampungan Melayu, Kampung Berembang, di Ampang bagi membuka laluan kepada pembinaan kondominium mewah.
Mahkamah mengisytiharkan perobohan tersebut haram, dan siasatan mendapati ia dipengerusikan oleh Abdul Samad Maharuddin, iaitu bekas pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor sebelum ini.
Tindakan SDB meminjamkan wang sebegitu besar kepada syarikat luar dari Sabah menghakis keyakinan pelabur untuk melabur ke dalam ekonomi negeri itu. Yong menyoal, apakah SDB tidak lagi yakin pembangunan di Sabah mapan untuk dikembangkan.
Pemimpin SAPP itu berkata kerajaan negeri dan SDB jangan sekal-kali memandang rendah potensi pengucupan pelaburan apabila para pelabur melihat bank milikan kerajaan negeri memindahkan wang yang amat besar kepada projek-projek di luar Sabah.
"Menurut Ketua Menteri Musa Aman, yang juga Menteri Kewangan menyelia SDB, Sabah mempunyai banyak projek-projek pelaburan menarik dihasilkan dibawah Koridor Pembangunan Sabah. Apakah projek-projek ini tidak perlu dibiaya?" soal Yong.
"Atau apakah kerana SDB tidak lagi yakin kepada ekonomi Sabah? Apakah tidak ada projek-projek di Sabah yang layak untuk pinjaman SDB? Apakah terdapat projek-projek lain yang lebih lumayan untuk SDB?"
-TVAntara.com.my-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan