Khalis Khadir
CEBU: Malaysia tidak melakukan sebarang jualan minyak ke negara-negara anggota ASEAN kerana masih perlu mengimport kira-kira 400,000 tong minyak mentah sehari.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun Malaysia sebuah negara pengeluar minyak, namun realitinya masih dianggap sebagai pengimport bersih.
“Tidak, kita tidak mempunyai minyak. Kita mengimport minyak kerana kita masih mengimport sekitar 400,000 tong sehari. Jadi, kita tidak boleh menjualnya.
"Namun, kita mengeksport gas asli cecair (LNG) dan merupakan antara lima pengeksport LNG terbesar dunia. Buat masa ini, saya fikir semua pihak mula melihat kepada idea mewujudkan mekanisme stok simpanan minyak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-27 serta Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN, di sini, pada Khamis.
Maklum balas itu bagi menjawab sama ada terdapat negara ASEAN yang meminta Malaysia menjual minyak, susulan krisis bekalan global akibat konflik di Asia Barat dan ketegangan geopolitik semasa.
“Pada peringkat awal, kita lontarkan idea tersebut terlebih dahulu sebelum mendapatkan pandangan dan maklum balas.
"Saya kata, jika mahu laksana mekanisme yang kita cadangkan untuk mewujudkan stok simpanan minyak serantau ini, kita perlu libatkan sektor swasta untuk mengendalikannya kerana saya tidak fikir kerajaan boleh melaksanakan sendiri,” ujarnya.
Johari berkata, siri mesyuarat kali ini banyak tertumpu kepada kesan perang di Asia Barat terhadap ekonomi 11 negara anggota, termasuk peningkatan harga minyak dunia yang menjejaskan pelbagai sektor ekonomi.
Menurut beliau, ASEAN sebagai rantau pengimport bersih minyak amat terdedah kepada sebarang gangguan bekalan dan kenaikan harga komoditi itu.
Katanya, kenaikan harga minyak memberi kesan langsung kepada sektor pengangkutan dan logistik, penerbangan, pembuatan, petrokimia, industri makanan serta penjanaan tenaga.
“Apabila harga minyak meningkat hampir 60 peratus berbanding harga asal, ia memberi kesan besar kepada hampir semua ekonomi ASEAN,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal kerana negara merupakan pengeksport bersih LNG.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan