Dalam suasana tegang ketika mengharungi krisis perlembagaan di Perak, ditakdirkan Allah S.W.T. ahli parlimen PAS di Bukit Gantang Roslan Shaharum, meninggal dunia. Oleh kerana tuntutan Pakatan Rakyat agar dibubarkan dewan undangan negeri Perak bagi mengambil kembali mandat dari rakyat tidak dipedulikan, maka pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang dilihat sebagai peluang yang dibuka oleh Allah S.W.T. bagi masing-masing menguji sokongan rakyat.
PAS atau Pakatan Rakyat tidak meminta pilihan raya kecil ini, tetapi Allah S.W.T. yang mentakdirkannya. Lantaran itu inilah masa dan peluang bagi jentera PAS khususnya dan PR amnya bagi membuktikan yang rakyat masih berdiri di belakang kita.
Bukit Gantang akan menjadi kayu pengukur kekuatan PR di Perak. Dan sukatannya adalah sokongan rakyat melalui undi, kiranya ia melonjak naik atau terus kekal bersama PAS maka ia merupakan petunjuk bahawa rakyat tidak dapat menerima "politik pintu belakang" yang diamalkan oleh BN di Perak.
Sebaliknya jika BN menang atau menang besar, berkemungkinan "politik pintu belakang" bakal menjadi lesen bagi mereka untuk terus mencabul demokrasi di negeri-negeri lain yang mana mereka kehilangan kuasa.
Oleh itu penting bagi seluruh jentera dan kekuatan PAS memberikan tumpuan pada pilihan raya kecil ini. Ini bukan masanya untuk memberi peluang dan membuka ruang pada musuh untuk mengeksploitasi kelemahan dan kelonggaran kita. Disaat dan ketika ini kita perlu buktikan yang PAS ini satu dengan matlamat dan dasar perjuangan yang jelas dan bersedia menggempur sesiapa sahaja yang mencabar kemaraan agenda politik dan perjuangan kita dengan satu nafas dan kesungguhan.
Pertempuran di Bukit Gantang nanti bukannya suatu yang mudah. Seperti biasa kita akan berhadapan dengan jentera kekuatan Barisan Nasional yang sudah pasti tidak bersedia untuk kalah kali ketiga berturut-turut. Mereka telah kecundang di Permatang Pauh dan kemudiannya di Kuala Terengganu, jika terlungkup juga mereka kali ini di Bukit Gantang, bermakna mereka sudah tidak ada kemampuan untuk melangkah ke hadapan lagi.
Di sinilah penting bagi PAS untuk memberikan isyarat kepada rakyat bahawa ia sudah bersedia untuk mengambil-alih peranan Umno malah akan mampu memberikan kepimpinan yang lebih baik dan berkualiti berbanding dengan apa yang diterima rakyat dari Umno selama ini. Jika rakyat di Bukit Gantang bangkit memberikan isyarat yang jelas bermakna selepas ini seluruh "bengkung Melayu" sudah bersedia untuk menerima kepimpinan PAS bagi membawa dan memandu mereka bagi puluhan tahun mendatang seterusnya.
Kemenangan di Bukit Gantang pada 7 April nanti adalah isyarat bahawa rakyat mahukan PR terus kekal memerintah di Perak. Ia bakal menjadi mahkamah rakyat yang bakal mendidik semua pihak bahawa hasrat dan kemahuan rakyat jangan dihalang-halang dengan politik kotor "pintu belakang".
Agenda politik Islam yang menjanjikan kebaikan, keadilan dan kesejahteraan buat semua mesti bermula dari umat Melayu, kerana itu Bukit Gantang akan menjadi pencetus ke arah lonjakkan besar perubahan paradigma khasnya di kalangan orang-orang Melayu dan seluruh rakyat di Malaysia amnya. Arus politik baru yang akan menyelamatkan ummah dan Negara terletak pada tangan para pengundi di Bukit Gantang.
Oleh itu PAS perlu bekerja keras, dengan calon yang dapat diterima semua, ia mesti meneruskan terjun bertemu dan meyakinkan rakyat sebagaimana di Kuala Terengganu baru-baru ini. Jika di Kuala Terengganu dengan izin Allah kita mampu menumbangkan BN, mengapa tidak di Bukit Gantang?
Begitulah juga harapan kita terhadap PKR di DUN Bukit Selambau dan Batang Ai yang turut bertarung atas panji-panji Pakatan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan