"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apakah PAS tak pernah ‘berdosa?’

Fauzi Abdullah

Ajakan Hadi Awang supaya Umno 'kembali ke pangkal jalan' dibalas Zahid Hamidi PAS perlu buang 'DNA khianat'.

PAS nampaknya masih belum mampu melupakan Muafakat Nasional (MN). Walaupun hubungannya dengan Umno sudah lama retak dan dipenuhi sindiran politik, parti itu terus menghantar isyarat mahu kembali bekerjasama atas nama ‘penyatuan Melayu-Islam’.

Semalam, Presiden PAS Hadi Awang sekali lagi mengajak Umno ‘kembali ke pangkal jalan’. Ungkapan itu membawa mesej jelas yang PAS menganggap Umno sudah tersasar selepas memilih bekerjasama dalam kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan terdiri PKR dan DAP.

Tetapi persoalannya — apakah PAS merasakan mereka langsung tidak pernah ‘berdosa’ dalam episod keretakan MN? Maksumkah mereka?

Kenyataan Hadi mungkin sedap didengar penyokong sendiri, namun ia juga boleh dibaca sebagai cubaan meletakkan seluruh beban kegagalan MN ke atas bahu Umno semata-mata. Sedangkan sejarah politik kedua-dua parti jauh lebih rumit daripada naratif ‘Umno tersasar, PAS kekal istiqamah’.

Tidak menghairankan apabila Presiden Umno Zahid Hamidi membalas dengan nada sinis. Beliau berkata, PAS perlu terlebih dahulu membuang ‘DNA khianat’ sebelum bercakap soal kerjasama semula. Jawapan itu keras, tetapi ia mencerminkan tahap kecurigaan mendalam yang masih wujud dalam Umno terhadap PAS.

Hakikatnya, hubungan PAS-Umno sentiasa dibina atas keperluan politik, bukan kepercayaan yang benar-benar kukuh. Ketika MN dilancarkan pada 2019, kedua-dua parti dilihat bersatu demi kelangsungan politik Melayu selepas kekalahan besar Barisan Nasional pada PRU14. Ketika itu, semangat ‘penyatuan ummah’ dijaja sebagai formula baharu politik negara.

Namun, ‘bulan madu’ itu tidak berpanjangan malah tidak seindah seperti diimpikan.

Pertindihan kerusi, perebutan pengaruh dan percaturan kuasa akhirnya membuka semula luka lama. PAS kelihatan memilih untuk terus memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, manakala Umno pula semakin curiga terhadap agenda sebenar PAS. Bagi Umno, PAS dilihat lebih selesa memperbesarkan pengaruh sendiri daripada benar-benar mahu menjadi rakan setara.

Sebab itu, apabila PAS hari ini bercakap soal perpaduan dan mengajak Umno kembali ke pangkal jalan, ramai dalam parti itu melihatnya dengan sinis. Mungkin ada antara mereka bertanya semula: ketika Umno lemah dan berpecah, di manakah PAS berdiri? Bersama rakan lama atau sibuk membina kekuatan politik sendiri?

Politik Malaysia memang penuh ironi. Dulu PAS dan Umno saling ‘kafir-mengkafir’ di pentas ceramah. Kemudian mereka berpelukan atas nama Melayu-Islam. Hari ini mereka kembali bertikam lidah tetapi pada masa sama masih membuka ruang untuk bekerjasama semula, kerana dalam politik prinsip sering berubah mengikut keperluan semasa dan kuasa.

PAS mungkin masih berharap MN boleh dihidupkan semula namun realitinya Umno kini lebih berhati-hati dan tidak lagi mudah termakan retorik perpaduan tanpa syarat. Selagi isu kepercayaan tidak diselesaikan, slogan ‘penyatuan ummah’ hanya akan tinggal sebagai nostalgia politik yang semakin pudar.
-fmt

Tiada ulasan: