[DIKEMAS KINI 1 TENGAH HARI] KUALA LUMPUR: Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh pagi ini dikenakan tuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan membabitkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bulan lalu.
Bagaimanapun beliau tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.
Kes beliau yang disebutkan di Mahkamah Sesyen akan dipindah ke Mahkamah Tinggi.
Karpal dilaporkan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dalam satu sidang media berkaitan Sultan Perak di pejabatnya di Jalan Pudu Lama di sini pada 6 Februari lalu.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)B Akta Hasutan 1948.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Karpal dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat bersama transkrip sidang media Karpal tersebut yang didapati mengandungi kenyataannya untuk mendakwa Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
Karpal mendakwa Sultan Perak bertindak di luar bidang kuasanya dan membenarkan pelantikan Menteri Besar Perak yang baru.
Semasa prosiding hari ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Kamaludin Mohd Said turut memohon kepada mahkamah untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi supaya mahkamah berkenaan menetapkan tarikh perbicaraannya.
Karpal tidak membantah permohonan tersebut.
Hakim kemudiannya memutuskan kes itu disebut semula manakala tarikh perbicaraan akan ditetapkan di Mahkamah Tinggi.
13 PEGUAM
Karpal yang juga seorang peguam mewakili diri beliau pada prosiding hari ini.
Bagaimanapun seramai 12 yang lain menjadi peguam pembantu beliau termasuk empat anaknya iaitu Gobind Singh Deo, Jagdeep Singh Deo, Ram Karpal Singh dan Sangeep Kaur. Peguam lain adalah RSN Rayer, Sakaran Nair, Malik Imtiaz, M. Kulasegaran, Ramesh Sivakumar, K A Ramu, Lim Lip Eng dan M. Manogaran.
BERITA TERDAHULU
Karpal akan didakwa hari ini, sedia wakili diri sendiri
KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh dijangka akan menghadapi tuduhan di bawah Akta Hasutan hari ini atas dakwaan menghina Sultan Perak.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta kerana mengancam untuk mendakwa Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang dikatakan bertindak di luar bidang kuasanya serta membenarkan pelantikan Menteri Besar Perak yang baru.
Beliau tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta kira-kira pukul 9.15 pagi bersama dua anak lelakinya, Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh Deo.
Karpal ketika ditemui sebelum memasuki mahkamah berkata beliau akan mewakili dirinya sendiri tetapi akan turut dibantu oleh peguam.
"Saya bersedia untuk menghadapi dakwaan hari ini," katanya.
Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir kira-kira pukul 10.20 pagi sebagai tanda sokongan pada prosiding hari ini dan dilihat berbua-bual bersama Karpal.
Bagaimanapun prosiding yang dijadual pada pukul 9 pagi masih belum bermula kerana urusan pendaftaran kes masih belum selesai.
Semalam anak lelaki beliau, Ram Karpal Singh mengesahkan bapanya menerima notis untuk hadir bagi menghadapi dakwaan mengikut Akta Hasutan.
"Kami dimaklumkan bahawa ia di bawah Akta Hasutan 1948 tetapi kami tidak tahu Seksyen mana...biasanya ia di bawah Seksyen 4," katanya.
Karpal dilaporkan mengeluarkan kenyataan tersebut pada 6 Februari lalu.
Ekoran itu, pelbagai parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan tampil membuat laporan polis terhadap beliau di seluruh negara.
Bagaimanapun ini bukan kali pertama Karpal menghadapi tuduhan di bawah Akta Hasutan.
Karpal sebelum ini bertegas mahu memfailkan kes mahkamah ke atas Sultan Azlan Shah kerana menitahkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak.
Beliau tetap mempertahankan pendiriannya untuk menyaman Sultan Perak dengan alasan tindakannya itu tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan