"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes samun: Warga emas maut, isteri parah dipukul

Abd Razak Mohd Ali

IPOH: Seorang lelaki warga emas maut, manakala isterinya parah dipukul dengan objek keras dalam kes samun di sebuah rumah di kawasan Jalan Melayu, Ayer Tawar, Manjung, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Hasbullah Abd Rahmah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai kejadian samun itu pada 5.30 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan pihak polis mendapati pasangan suami isteri warga emas itu diserang seorang lelaki yang tidak dikenali sehingga mengalami kecederaan serius akibat dipukul dengan objek keras.

“Suspek melarikan dua unit telefon bimbit serta beg duit milik mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, jiran mangsa yang terdengar bunyi bising telah datang untuk membantu dan membawa mangsa ke Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan.

Namun, ujarnya, mangsa lelaki berumur 84 tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan dan bedah siasat akan dijalankan untuk mengesahkan punca kematian.

Hasbullah berkata, hasil maklumat dan risikan, kira-kira jam 7.45 malam hari sama, sepasukan polis dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya menangkap suspek, seorang lelaki berumur 27 tahun, bersama barangan milik mangsa.

Tambahnya, suspek dibawa ke IPD Manjung bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 / 494 Kanun Keseksaan.

Suspek kemudiannya direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 Mei.

Saksi atau orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil ke IPD Manjung atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau talian hotline Whatsapp 017 - 682 8005 bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: