Abdullah Ahmad Badawi dijadual bakal meletak jawatan untuk memberi laluan kepada timbalannya Najib Razak menjadi Perdana Menteri. Agak sulit difikirkan bahawa Abdullah akan berasa terancam oleh Harakah dan Suara Keadilan.
Jika Abdullah turun 'takhta', bererti Harakah dan Suara Keadilan akan menjadikan Najib sebagai sasarannya. Potensi Suara Keadilan dalam membongkar dosa Najib, menyelongkar khazanah kekayaan lelaki Bugis terakhir itu, menelanjang dan membogelkan dalaman luaran Najib tiada siapa boleh mempertikainya lagi. Demikian juga Harakah.
Tetapi, Harakah dan Suara Keadilan tetap punya ciri-ciri dan watak yang sama dalam usaha 'menggelapkan' watak Najib dan Abdullah ini. Hubungan Najib dengan Altantuya, kapal selam, Perancis, Mongolia adalah sekian banyak perencah dan ramuan yang menyelerakan pembaca.
Saya mendapat maklumat mengenai permit Suara Keadilan ada masalah ketika berborak mengenai cara-cara melawan Najib bersama teman-teman di Bangsar. Antara tajuk bualan itu ialah, bagaimana mendepani Najib jika Najib menjadi PM?
"Kita wujudkan satu hari yang disambut secara besar-besaran sebagai mengenang Altantuya," kata seorang teman.
Dalam hati saya tercetus ilham - Di universiti, kita perlu wujudkan Persatuan Bahasa Mongolia. Kalau boleh, sampai ke satu tahap, kita perlu menikahi wanita Mongolia pada masa-masa akan datang. Saudara Altantuya mesti ramai juga yang bekerja sebagai ahli akademik di universiti. Tekanan ke atas Najib mesti hadir juga dalam bentuk kajian akademik!
Maka, universiti kita perlulah juga banyak program hubungan kebudayaan Malaysia - Mongolia. Saya pernah berada di Kalimantan Timur, Samarinda dalam program Mastera DBP. Di sana saya mendapat tahu apa perbezaan antara Dayak dan Banjar. Banjar dan Dayak adalah sama sahaja. Mereka dibezakan oleh sebab agama. Banjar beragama Islam.
Tetapi, baik Banjar dan Dayak, mereka ini ada darah campuran daripada bangsa Mongolia. Sejak bilakah Mongolia tiba di wilayah Kalimantan? Hal ini mudah dicari jawapannya jika Najib tidak memberikan peruntukan RM1 juta kepada Golf Remaja sebaliknya wang itu disalur ke universiti sebagai geran penyelidikan guna mengkaji persamaan genetik antara bangsa Mongolia dan bangsa Banjar / Dayak itu.
Ini semua adalah ancaman dan sejenis bentuk tekanan ke atas Najib. Asyik-asyik Najib saja yang menekan kita. Bila pula kita mahu berikan tekanan ke atas Najib? Terbaru.. permit Harakah dan SK digantung. Ini adalah tekanan daripada legasi Najib. Anak Abdul Razak itu sudah mula tunjuk belang, taring dan wajahnya yang sebenar.
Apakah rakyat perlu berdemo di Istana Negara sekali lagi untuk menyeru Yang Dipertuan Agong agar tidak melantik Najib sebagai Perdana Menteri? Biarlah Najib mahu jadi Presiden Umno dan Presiden Barisan Nasional sekali pun. Tapi, biarlah Perdana Menteri Malaysia itu orang lain. Apakah ada kemungkinan melaksanakan hal sebegitu? Wallahu'alam..
Ya.. tidak lama selepas mendengar khabar mengenai permit SK digantung, baru kita dengar berita mengenai permit Harakah dilanggar musibah tsunami. Hai.. tekanan lagi.
FRU merusuh di Sungai Petani
Saya pulang ke rumah sekitar 9:00 malam tadi dan adik saya berada di Sungai Petani bercerita bahawa dia sedang tunggu Anwar memberikan ucapan. Sebagai anak muda, dia tentunya berasa seronok mendapat peluang mendengar ceramah sebegitu.
Saya teruskan program malam seperti biasa kerana seharian penat bekerja. Akal mental dan jasad perlu ditenang seketika sambil melayan Laksamana Do Re Mi yang meriwayatkan kezaliman Menteri Pasola. Sejak riuh-rendah masyarakat menyamakan filem itu sebagai sindiran ke atas kerajaan haram BN di Perak, RTM masih siarkan lagi filem itu.
Err..?? Ada reformis senyap ke di RTM?
Sambil berehat, saya melayari internet dan terbaca laporan berhubung ceramah di Sungai Petani yang dikerjakan dengan teruk oleh FRU. Hati saya berdegup kencang, jantung berdetak pantas.
"Adik aku..dia macam mana? Dia sudah kena semburan air gatalkah? Adakah belantan hinggap ke mukanya?" hati saya separuh berbisik. Semoga dia tidak kena apa-apa. Bagaimanapun, keadaan di sana memang sukar diramalkan.
Saya teringat catatan Said Zahari dan beberapa orang yang pernah ditahan ISA. Kita tentu pernah terdengar Operation Cold Store di Singapura pada tahun 1963. Pada saat itu, pada suatu malam, dengan tiba-tiba sekitar 107 orang pimpinan Barisan Sosialis berhaluan kiri ditangkap semuanya. Kejadian itu berlaku pada bulan Februari.
Jadi pada malam ini, dalam tempoh sehari semalam, sehari sebelum menjelangnya Perhimpunan Agung Umno, barangkali sudah berlaku 'Operation Cold Store' yang menyaksikan betapa serentaknya peristiwa mengancam segala sumber kekuatan pasukan berhaluan kiri. Hari ini saja, Suara Keadilan dan Harakah digantung dan permit ceramah di Sg Petani diutarik balik!
Sekitar 1:55 pagi, adik lelaki saya menelefon semula untuk mengirim perkembangan berhubung situasi sebenar di Sungai Petani. Mereka diburu bagaikan anjing! Saya hanya mampu mengetap bibir mendengarnya. Geram sungguh mendengarnya!
"Melayu, Cina dan India sama ramai. Tapi, India nampak berani berani melawan. Depa jerit.. mai la tembak aku tang ni.. mai tembak aku tang ni," demikianlah macam bertih goreng tanpa henti-hentinya adik lelaki saya bercerita.
Menurut ceritanya, permit memang sudah diminta dan diluluskan beberapa hari lalu. Tiba-tiba pada saat akhir, permit tu ditarik balik. Jadi, bayangkan bagaimana pihak penganjur mahu beritahu khalayak berhubung hal tersebut?
"Depa baling bom pemedih mata tu macam mercun, tum..tum..tum.. tak bagi amaran dah," jelas beliau. Dia yang tak pernah merasai peristiwa itu, tentunya berasa sangat terkejut melihatkan peristiwa yang tidak dijangkakan itu.
"Kami nak lari macam mana bang? FRU tembak kiri, lepas tu dia tembak bom tu pi sebelah kanan. Jadi kami nak lari pi mana? Mujur Imran masuk kat bahagian mesin ATM. Berlindung sat kat situ."
"Habis tu Anwar macam mana?" saya bertanya.
Anwar sebenarnya, menurut adik lelaki saya, berucap tak sampai seminit! Dia cuma berikan kata-kata aluan dalam bahasa Mandarin dan Tamil seperti biasa yang kita selalu dengar.
"Tiba-tiba terus kena! Muka Anwar pun berubah! Tak sampai seminit pun dia berucap. FRU tak bagi peluang. Anwar masuk balik dalam markaz. Pintu pun ditutup. Dia terpaksa menyelamatkan diri.
"Ada makcik jatuh dalam longkang. Makcik tu lepas kena bom pemedih mata tu, dia tak nampak jalan. Kemudian dia jatuh longkang. Budak-budak kecil besar Sarah pun kena bom juga. Kali ni betul-betul basah kuyup baju," katanya ketika mengenangkan anak kecilnya di rumah. Suatu kemujuran juga kerana dia pergi bersendirian.
Kasihan wanita-wanita tua yang terkena bedilan bom pemedih mata. Anak-anak kecil lari bertempiaran sampai hilang entah ke mana, terpisah jauh daripada kawalan ibu bapa mereka. Zalim sungguh.. Bila mendengar cerita begitu rasa berombak di dada! Cis! Bedebah punya Najib dan mereka yang perlu bertanggungjawab dalam hal ini.
"Ustaz Azizan kalau tak silap dalam perjalanan pi sana dan dia pun tak dan (sempat) nak mai (datang). Senator Zamri nak pi sabarkan orang. Dia nak berunding dengan polis. Tapi, orang-orang Pakatan Rakyat ni ada yang 'over' sikit, dok jerkah-jerkah, alih-alih..sekali dengan dia pun kena tahan," jelas adik saya lagi.
Macam anjing!
Paling 'sempoi', menurut adik saya itu, oleh sebab inilah detik peristiwa yang termahal dan berharga di dalam hidupnya dia terus membuat rumusan yang memang pedas! FRU ni perangainya macam anjing juga.
"Ada seorang pakcik tu kena ligan (diburu) dengan FRU. Depa ni macam anjing juga perangainya. Bila pakcik tu sampai ja ke tempat kami yang ramai ni, depa pun tak berani nak mai. Perangai macam anjing juga depa ni.
"Abang pernah tengok tak perangai pemain ragbi? Tak lama lepas tu, FRU buat macam tu la. Depa bunyi ha.. ha.. menjerit macam tu," katanya lagi.
Saya sukar membuat gambaran kerana jarang-jarang menonton acara sukan apatah lagi ragbi. Semangat kesukanan saya cuma meningkat apabila menonton sukan gimrama dan acara renang kuak lentang wanita sahaja.
Apa pun..demikianlah ceritanya dalam sehari semalaman ini. 'Operation Cold Store' di Singapura pada Februari 1963 kini mula rancak berpesta. Kemeriahan dan hangatnya kian terasa menjelang Perhimpunan Agung Umno.
Petang ini, Harakah, Suara Keadilan telah digantung dan selaut resah yang terdampar di hati demonstran di Sungai Petani malam ini sedang menggunung!
4:00 a.m, 24 Mac
Sekolah Pemikiran Kg Baru
Tiada ulasan:
Catat Ulasan