"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRN Johor: Muda berisiko lenyap di Johor tanpa pakatan

FMT Reporters

Penganalisis kata tanpa sokongan gabungan yang mantap, parti itu berkemungkinan akan bergelut dalam pertandingan berbilang penjuru.

Muda bawah pimpinan presiden Amira Aisya Abdul Aziz letak sasaran lima hingga 10 DUN di Johor, melibatkan kawasan campuran, bandar, serta luar bandar.
PETALING JAYA: Muda berisiko lenyap di Johor sekiranya bertanding bersendirian, menurut penganalisis yang meramalkan pertempuran pelbagai penjuru mungkin memudaratkan berbanding membantu parti itu.

Pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali, berkata Muda kekurangan sokongan di kawasan luar bandar. Tambahnya, sokongan di kawasan bandar juga tidak menentu lantaran akar umbi yang lemah.

Beliau berkata bertanding solo pada PRN Johor boleh membawa kepada kekalahan, maka Muda wajar menjalin pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN).

Mazlan mengingatkan bahawa Muda memenangi Putera Wangsa — satu-satunya kerusi parti itu di Johor — melalui kerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRN 2022.

“Sekiranya Muda bertanding sendirian, mereka akan tewas di semua kerusi. Mereka mungkin akan hilang wang pertaruhan. Mereka hanya mempunyai peluang jika menyertai suatu pakatan seperti PH, PN atau BN — itu pun sekiranya mereka diberikan kerusi,” katanya kepada FMT.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Muda mungkin berharap untuk mengambil kesempatan ke atas perpecahan undi yang berpotensi berlaku dalam pertandingan pelbagai penjuru, namun parti itu tidak mungkin muncul sebagai pemenang memandangkan pengikut teras yang kecil.

“Dalam konteks pertandingan berbilang penjuru, impak ke atas Muda adalah kompleks. Secara teori, pertandingan sedemikian boleh memberi ruang kepada Muda untuk muncul sebagai pemenang apabila undi kepada parti-parti utama berpecah.

“Bagaimanapun, kerana sistem ‘first-past-the-post’, situasi ini lebih kerap memberi kelebihan kepada parti-parti yang sudah mempunyai pengikut yang ramai. Tanpa bank undi yang stabil, Muda berisiko tenggelam dalam persaingan, walaupun ia memperoleh sokongan yang agak signifikan,” katanya.

Walaupun rancangan Muda untuk bertanding lima hingga 10 kerusi pada PRN Johor mencerminkan pendekatan yang lebih berhati-hati dan strategik, Awang Azman berkata ia juga menunjukkan parti itu sedar akan kekangan semasa.

“Ia mencerminkan keyakinan yang berpada, bukan lagi retorik gelombang besar seperti yang dilihat semasa awal penubuhan, tetapi usaha menumpukan sumber ke kawasan tertentu yang dianggap berpotensi.

“Ini menunjukkan Muda sedang beralih dari fasa idealisme kepada realpolitik, menambah pengikut secara beransur-ansur dan dalam cara yang lebih tersusun.”

Isnin lalu, Presiden Amira Aisya Abdul Aziz berkata Muda menyasarkan untuk bertanding lima hingga 10 kerusi pada PRN Johor akan datang, merangkumi kerusi campuran, bandar hingga ke kawasan luar bandar.

Walaupun Muda sebahagian daripada Ikatan Prihatin Rakyat, suatu gabungan longgar yang dibentuk oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Amira berkata belum ada rundingan rasmi dengan pembangkang lain berkaitan kerjasama untuk PRN Johor.

Merujuk prestasi Muda pada PRN 2022, Awang Azman berkata peluang parti itu untuk memenangi lebih daripada satu kerusi adalah kecil.

“Sekiranya Muda berjaya menambah satu atau dua lagi kerusi, ia sudah boleh dianggap sebagai kemajuan yang besar. Sebarang pencapaian melangkaui itu memerlukan anjakan besar dalam sentimen pengundi atau perpecahan undi yang besar dalam kalangan parti-parti utama.”

Bagaimanapun, Mazlan percaya Muda berkemungkinan besar akan kehilangan Puteri Wangsa tanpa pakatan.

Beliau berhujah budaya politik Malaysia masih memihak kepada pakatan berbanding parti yang berdiri sendiri. “Muda tidak akan dapat raih sokongan yang mereka harapkan (jika bergerak solo).”

Beliau menyifatkan pilihan raya akan datang sebagai ujian kritikal terhadap kelangsungan parti itu, mengingatkan bahawa kehilangan semua kerusi — bersama wang pertaruhan yang dibayar — boleh menandakan bermulanya kemerosotan.

“Jika itu berlaku, Muda akan menjadi tidak relevan, seperti parti-parti kecil lain yang tidak lagi disokong atau diberi perhatian.”

Pada PRN Johor 2022, Muda bertanding tujuh kerusi bawah pakatan dengan PH tetapi hanya menang di Puteri Wangsa.

Kerusi tersebut telah bertukar tangan beberapa kali sebelum ini. Dimenangi oleh Umno pada 2004, dan dirampas oleh PAS ketika bersama Pakatan Rakyat, sembilan tahun kemudian.

Pada 2018, kerusi itu dimenangi oleh Bersatu, yang ketika itu merupakan komponen PH. Parti tersebut meninggalkan PH pada 2020.

Tiada ulasan: