"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menulis dengan penuh tanggungjawab

Kes beberapa insiden menghina Sultan Perak di alam maya sedang dibicarakan di beberapa mahkamah. Saya akui tindak-tanduk pihak istana khasnya di Perak dalam suasana kemelut politik di sana kelihatan tidak digemari dan tidak dapat diterima oleh kalangan rakyat. Mereka kecewa dengan perkembangan yang berlaku, tidak undang-undang dalam mana-mana Negara di dunia yang melarang seseorang berperasaan kecewa.

Walaubagaimanapun kita perlu berhati-hati, jangan sampai menyalurkan kekecewaan kita itu dalam bentuk yang melanggar undang-undang yang ada.

Saya sendiri sejak menceburkan diri dalam penulisan di alam maya ini sejak para PRU 1999 dan ber “blog’ sejak 2004 sangat mementingkan hal ini. Sebagai penulis kita perlu menulis dengan penuh tanggungjawab. Kita berhak menyuarakan isi hati kita tetapi jangan sampai menghina apalagi memfitnah dan menjatuhkan maruah seseorang. Pandangan saya ini mungkin tidak dikongsi bersama oleh beberapa penulis dan blogger lain, tetapi biarlah, saya hidup dengan diri dan cara saya. Yang penting saya menulis dengan niat untuk membawa dan menarik masyarakat ke arah dasar dan cita-cita perjuangan saya. Saya memikul amanah dan perlu beramanah dalam melaksanakan tugas itu.

Saya tertarik membaca laporan NST pagi ini berhubung persidangan undang-undang e-peguam di Kuala Lumpur semalam bertajuk “Blogging and Law”.

Dalam laporan itu peguam Nizam Bashir Abdul Kariem menjelaskan bahawa sebarang penulisan para blogger yang mencederakan nama baik dan maruah seseorang lain dikira fitnah dan boleh didakwa. Jumlah pampasan yang boleh diperolehi oleh mereka yang maruahnya tercalar itu tertakluk kepada taraf dan kedudukan seseorang..

Pokoknya kita perlu berhati-hati. Berani menulis bermakna kita juga berani memikul tanggungjawab atas penulisan itu. Saya di sini insyallah berani memikulnya.

Tidak dinafikan saya sendiri memiliki pengalaman tercedera maruah dan nama baik apabila ada para blogger yang cenderung mencampakkan nama saya sebagai bahan mensensasikan tulisan mereka. Memang saya dan keluarga sedih dengan “kebiadapan” tulisan mereka itu, sekurang-kurangnya sekarang saya tahu hak saya dan tidak akan teragak-agak menuntutnya jika ia berulang.

Apa pun mudah-mudahan perkembangan ini mendewasakan kita semua. Gunakan kepakaran dan minat kita untuk manfaat perjuangan, biar lebih ramai menyokong dan bersama perjuangan kita bukan sebaliknya.  
http://n32.blogspot.com/

Tiada ulasan: