KOTA BHARU, 23 Mac (Hrkh) - Selari dengan perkembangan teknologi maklumat, Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) menyediakan info pelancongan digital bagi kemudahan pelancong yang bertandang ke negeri ini.
Multimedia Electronic Led Display Board (LED) setinggi 15 kaki dengan paparan skrin 16 kaki x 22 kaki dipasang di Jalan Sultan Ibrahim berhadapan pejabat TIC.
Pengurus TIC, Ahmad Shukeri Ismail berkata, skrin iklan elektronik itu dijangka menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong untuk mendapat maklumat terkini berkaitan aktiviti pelancongan di Kelantan.
Perasmian pelancaran tayangan di skrin tersebut akan disempurnakan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid malam ini.
Dijangka turut hadir Cik Puan Temenggong dan Tengku Amalin A'ishah Putri, anggota-anggota Exco Kelantan negeri dan pegawai kerajaan.
"Majlis perasmian akan bermula jam 8.30 malam ini," katanya ketika ditemui di sini.
Oleh itu beliau berkata, bagi melicinkan program berkenaan Jalan Sultan Ibrahim bermula di Bulatan Tuan Padang menuju ke Kuala Krai berhadapan pejabat TIC akan ditutup bermula jam 5 petang ini.
Menurutnya buat permulaan skrin multimedia tersebut akan menayangkan dokumentari bertajuk 'Kesultanan Melayu Kelantan'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan