"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahathir guna PRK Selambau &Bukit Gantang untuk cari semula sokongan politik


   

Hari ini hari terakhir kempen untuk pilihanraya kecil serentak di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai.

Dalam tempoh kurang 24 jam, BN akan memaksimakan penggunaan segala jentera kerajaan, media arus perdana yang dikuasainya, dana awam,  serta senjata terbaru Tun Mahathir Mohamad untuk mencapai kemenangan yang amat diidamkan, khususnya di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

Mahathir telah menyusun strategi yang rapi lagi licik untuk mengembalikan pengaruhnya dalam UMNO dan pada masa sama,  menyelamatkan karier politik anaknya Mukhriz yang tewas pada pemilihan ketua pemuda umno dua minggu lalu.

Bukit Selambau dan Bukit Gantang akan menjadi pentas untuk diperguna dan diperalatkan oleh Mahathir bagi membina semula sokongan untuk  beliau dan anaknya. 

Semuanya adalah sebahagian daripada sifir politik Mahathir untuk kembali sebagai  kuasa yang mampu menggugat,  dan lebih penting,  mempengaruhi keputusan Najib  Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Ujian pertama Najib samada beliau tunduk kepada Mahathir pada hari-hari awal pentadbirannya akan diketahui apabila jemaah menteri baru dibariskan.

Adakah Najib akan memberikan tempat kepada Khairy Jamaluddin,  yang disifatkan oleh Mahathir sebagai contoh UMNO memberi kedudukan kepada perasuah?.

Secara am, kemenangan sebagai Ketua Pemuda harus meletakkan Khairy sebagai pilihan utama untuk jawatan Menteri.

Banyak contoh yang menyerlahkan andaian ini dan Najib,  ketika beliau menjadi ketua pemuda dan dilantik oleh Mahathir sebagai Menteri Pelajaran, adalah teladan terbaik.

Jika Khairy tidak dipilih menganggotai Kabinet dan tinggal sebagai Ketua Pemuda sahaja, peluang Mukhriz cerah untuk menghidupkan semula karier politiknya kerana ia bermakna ayah beliau kembali berpengaruh dalam parti dan kerajaan.

Selepas menghentam UMNO selama lima tahun sebagai parti perasuah dan presidennya Abdullah Ahmad Badawi hanya mengkayakan ahli keluarga dan kroni, Mahathir tiba-tiba kembali “sayang” kepada UMNO.

Sayugia diingatkan, selain menghentam Abdullah ketika itu, Mahathir tidak segan silu mengkritik Najib sebagai tidak mempunyai keberanian untuk bertindak tegas.

Jadi apa yang telah berubah secara begitu mendadak dalam UMNO dalam tempoh seminggu lalu, lebih-lebih lagi apabila anaknya sendiri menjadi mangsa politik wang dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda.

Jawapannya: Mahathir pakar menghidu peluang politik. 

Pengunduran  Abdullah dan stigma pelbagai penyelewengan yang melekat pada dahi Najib memberi Mahathir ruang untuk memerangkap Perdana Menteri baru dalam percaturan kuasa dalaman UMNO dan secara langsung kerajaan.

Peluang kini terbuka untuk Mahathir menjadi Tok  Dalang dalam perjalanan urusan negara dan parti.

Jika beliau berjaya membuat Najib semakin bergantung kepada nasihat dan tunjuk ajarnya,  Mahathir akan menghidupkan kembali permainan politik beliau yang gagal lama  dulu kerana penggantinya Abdullah enggan bermain sama.

Oleh kerana itu,  Mahathir turun di Bukit Gantang dan Bukit Selambau hari ini untuk sama-sama “membina semula” UMNO.

Yang tidak dinyatakan namun terselah ia juga sebahagian daripada mainan untuk memperkukuhkan pengaruh politik seorang bekas perdana menteri dan anaknya yang kecundang pada pemilihan UMNO. 

 -TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: