"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Orang Melayu Perak turut dapat tanah
Johari Jaafar  

BUKIT GANTANG: Penganugerahan hak milik tanah kepada rakyat Perak berketurunan Cina dijadikan modal oleh BN untuk membangkitkan isu perkauman dan kemarahan pengundi Melayu kepada Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin.

Nizar dituduh sebagai 'Menteri Besar Boneka DAP' kerana memberikan tanah kepada orang Cina sahaja.

Tohmahan ini disebarkan di Bukit Gantang oleh para pemimpin Umno yang gilakan kuasa dan mahu mempertahankan rampasan kuasa yang mereka lakukan.

Bagaimanapun tohmahan itu tidak mudah ditelan rakyat negeri ini.

Penduduk di Kampung Kurnia Jaya, Taiping contohnya tahu pemimpin mana yang membela nasib mereka dan pemimpin mana yang hanya menabur janji.

"Kampung Kurnia Jaya ini dahulu tapak bekas lombong, selama 30 tahun kampung ini menjadi tanah setinggan, penduduk di sini sering kali dijanjikan dengan geran hak milik setiap kali pilihan raya oleh pemimpin pemimpin Umno," kata Ketua Kampung Rahmah dan Kampung Kurnia Jaya, Yahya Sidek.

Penduduk katanya sudah bosan dengan janji-janji Umno yang hanya pandai berjanji tetapi tidak pernah mengotakannya.

"Semasa pemerintahan BN, pihak tertentu telah menggazetkan kampung ini sebagai tanah kosong yang tidak ada penghuni dalam peta Mukim Asam Kumbang, sedangkan di sini ramai penghuni. Tanah kampung ini kemudiannya telah dibeli MK Land sebelum pilihan raya umum ke-12," ujarnya.

Apabila Pakatan Rakyat memerintah negeri Perak dan Roslan Shaharum menjadi Ahli Parlimen Bukit Gantang, masalah penduduk di sini telah dikemukakan kepadanya dan beliau berjanji menyelesaikannya dalam tempoh dua tahun.

"Pada 16 Disember lalu telah diadakan taklimat dengan Pejabat Tanah Taiping dan dialog diadakan di Dewan Orang Ramai Kamunting bersama Menteri Besar, Ir Mohamad Nizar.

"Pegawai Daerah memberi jaminan urusan menyukat tanah diselesaikan pada Mac.

"Kemenangan Pakatan Rakyat telah membuka sejarah baru bagi penduduk di sini. Kerajaan negeri telah membatalkan perjanjian dengan pihak pemaju.

"Serentak dengan itu juga pada 11 Jun 2008 Menteri Besar telah menggazetkan tanah ini untuk diberikan geran hak milik," jelas beliau.

Menurut Yahya, keputusan kerajaan negeri Pakatan Rakyat meluluskan tanah tersebut untuk diberikan hak milik membuktikan Ir Nizar memberikan tanah kepada orang Melayu, sekaligus menafikan tohmahan BN kononnya Nizar hanya memberi tanah kepada orang Cina.

"Tidak lama selepas episod rampasaan kuasa, Dato' Zambry ada datang ke sini dan memaklumkan kononnya pihak beliau telah meluluskan tanah perkampungan ini untuk diberikan hak milik.

"Ini satu penipuan kerana hak milik tanah ini telah diluluskan oleh Nizar selaku Menteri Besar," katanya.

Kenyataan Yahya disokong seorang penduduk, Mohd Hassan Ahmad yang telah tinggal di kampung itu sejak 15 tahun lalu.

"Cerita hendak beri hak milik tanah ini sudah lama, setiap kali pilihan raya pemimpin Umno berjanji, tetapi janji hanya tinggal janji," katanya.

Beliau selaku ahli Jawatankuasa Bertindak Masalah Tanah di kampung itu turut kesal apabila jawatankuasa 'mee segera' yang diwujudkan pihak tertentu bertindak sebagai 'hero' kononnya merekalah yang menyelesaikan masalah hak milik tanah di kampung itu.

Penduduk di sini, katanya melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Pakatan Rakyat kerana meluluskan permohonan tanah dan memberikan hak milik kepada mereka.

Beliau bagaimanapun kesal apabila Zambry ketika datang ke kampung itu mendakwa telah meluluskan permohonan tanah tersebut.

"Ini satu penipuan sekaligus menafikan apa yang telah dibuat oleh Ir Mohamad Nizar.

"Zambry juga berjanji dalam masa dua minggu urusan mengeluarkan geran hak milik tanah akan selesai tetapi hingga sekarang belum diperolehi; penduduk sudah bosan dengan janji BN," ujarnya.

Seorang lagi penduduk Othman Lah, turut sependapat dengannya dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pakatan Rakyat yang prihatin dengan masalah penduduk di sini.

"Tohmahan BN yang mengatakan Nizar beri tanah kepada orang Cina sahaja tidak berasas, orang Melayu kampung ini turut diberikan hak milik tanah," katanya.

Kampung Rahmat dan Kampung Kurnia Jaya dahulunya adalah kubu kuat Umno tetapi kini berubah menjadi 'kawasan hutam' bagi Umno.

Sekiranya pada PRU ke-12 lalu BN berkuasa lagi, tambah Othman, penduduk kampung terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada jiran-jiran kampung berdekatan kerana tanah dan Kampung Kurnia Jaya Tambahan sudah tiada lagi.- tajdid

Tiada ulasan: