"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Majlis Perbandaran Seremban Hanya Pandai Menyaman

SEREMBAN, 17 Mei (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani membidas sikap penguatkuasa Majlis Perbandaran Seremban (MPS) ibarat menangguk air yang keruh, yang agak rakus menyaman kenderaan atas pelbagai kesalahan kecil sejak kebelakangan ini.

Beliau merujuk kepada insiden seorang pengunjung Pasar Besar Seremban, Faizah Abdullah yang dikenakan kompaun hari ini kerana meletakkan kenderaan di tempat yang dilarang letak kenderaan.

Taufek berkata sepatutnya Penguatkuasa menggunakan budi bicara mereka sebelum mengeluarkan kompaun kerana masalah pokok disini ialah krisis tiada tempat letak kereta yang mencukupi di sekitar bandar Seremban.

" Memang dari segi undang-undang pemilik kenderaan tersebut salah, tetapi apakah jalan penyelesaian untuk jangka masa panjang?

"Apakah dengan tindakan rajin menghukum pemilik kenderaan, masalah tempat letak kereta yang terhad ini selesai?" bidas Taufek lagi.

Menurut Taufek, beliau sendiri pernah menjadi mangsa penguatkuasa dalam situasi beliau tidak menjumpai tempat letak kereta yang kosong tetapi pada masa yang sama perlu menyelesaikan urusan kerja atau peribadi yang mustahak dan Adalah tidak logik pengguna kenderaan sengaja mencari pasal agar dikenakan kompaun.

"Di Kuala Lumpur, walaupun keadaannya lebih sesak dengan kenderaan, tetapi sekurang-kurangnya terdapat banyak tapak meletak kereta yang dikendalikan oleh syarikat swasta," kata Taufek.

Taufek juga berkata bahawa alasan penguatkuasa MPS bahawa pengguna kenderaan malas letak kenderaan di lokasi yang jauh adalah alasan yang tidak munasabah dan tidak konkrit.

"Apakah MPS mengharap orang ramai termasuk golongan berumur meletakkan kenderaan sejauh satu kilometer dari lokasi urusan kita?

" Apakah pula jaminan MPS dari segi keselamatan diri sendiri dan kereta itu sendiri jika meletak kenderaan di kawasan sunyi dan lorong-lorong?" ujar Taufek lagi.

Justeru itu Taufek mengajak Yang Di Pertua MPS untuk sama-sama memandu dan mencari tempat letak kereta di sekitar Pasar Besar Seremban pada waktu pagi untuk sama-sama melihat dan merasai masalah tersebut. 

Tiada ulasan: