"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PM Takut Bayang-Bayang Rakyat Atau Bayang-Bayang Altantuya

Perdana Menteri Najib Razak seorang yang diselubungi perasaan takut kebelakangan ini. Beliau takut kepada bermacam-macam perkara apatah lagi sejak memegang jawatan tertinggi pentadbiran negara perasaan takutnya bertambah memuncak.

Perasaan takut yang menghantui beliau telah mendorong Najib membuat pelbagai cara untuk menutup dan mengatasi naluri takut dalam dirinya. Bak kata pakar psikologi walaupun rasa takut adalah sesuatu anugerah semulajadi dalam diri setiap manusia perasaan itu juga boleh timbul kerana berasa bersalah atau kesal terhadap sesuatu perkara atau perbuatan yang telah dilakukan.

Tidaklah diketahui sama ada perasaan takut Najib kini adalah cerminan naluri semulajadi beliau ataupun kategori takut yang satu lagi. Apa hal pun Najib kini dibelenggu perasaan takut.

Pertama beliau takut semua dakwaan yang dilemparkan terhadap beliau akan menjadi realiti sekiranya dibuktikan betul. 

Ini akan betul-betul menjadi mimpi ngeri yang amat dahsyat. Antara dakwaan yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu terhadap Najib ialah kes-kes rasuah yang bukan biasa tetapi luar biasa. Umpamanya dakwaan penasihat beliau, Razak Baginda menerima habuan "kickback" atau suapan rasuah sebanyak lebih RM500 juta sebagai "khidmat runding" dalam pembelian dua kapal selam Scorpene. Luar biasa sebab rasuah yang diberi dan diterima amat besar dan mengejutkan. Yang rugi ialah negara dan pembayar cukai kerana rakyatlah yang terpaksa menanggung kos yang tidak kena mengena dengan harga sebenar kapal selam tersebut.

Selepas itu timbul pula dakwaan yang lebih besar dan menakutkan iaitu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang mayat beliau diletupkan dengan bahan peledak ala C4 kegunaan tentera. Sejak beliau dibunuh tiga imej Altantuya telah diusung ke hulu dan ke hilir sehingga situasi ini mencemaskan Najib. Pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang 7 April lalu, 8 penyokong Pakatan Rakyat ditahan dan didakwa kerana mengusung keranda mendiang semasa kempen. Media kawalan Umno dan Barisan Nasional pun mengeluarkan larangan kepada semua saluran media mereka supaya jangan sekali-kali menyiar atau menyentuh isu Altantuya dalam mana-mana siaran berita. Najib takut kepada bayang-bayang Altantuya.

Imej Speaker V. Sivakumar diheret keluar dari Dewan Undangan Negeri Perak juga diharamkan disiar oleh kumpulan media  milik Umno. Malangnya larangan tersebut tidak masuk akal kerana dengan kecanggihan teknologi maklumat yang terkini visual tersebut telah tersiar diseluruh dunia dengan sekali menekan butang. Tapi itulah sikap Najib dan Umno yang dipimpinnya yang sentiasa ketinggalan "keretapi" walhal dunia sudah jauh lebih maju dan ke depan. Najib takut kepada imej Sivakumar di heret.

Pada sidang DUN 7 Mei lalu pihak polis pula sibuk menangkap sesiapa sahaja yang berpakaian hitam disekitar Bangunan Perak Darul Ridzuan, tempat di mana sidang berlangsung. Kononnya mereka ini bersubahat dan menyokong kempen Wong Chin Huat, aktivis BERSIH yang menggalakkan orang ramai berpakaian hitam sebagai lambang tentangan kepada konsep Satu Malaysia ciptaan Najib. Sebagai ganti Wong mempromosikan Sati Malaysia Gelita (1Black Malaysia). Najib takut kepada warna hitam.

Bercakap mengenai takutkan warna ini bukan kali pertama Umno dan Bn phobia terhadap warna. Pada 10 November 2007 BERSIH menganjurkan perhimpunan besar-besar di Kuala Lumpur yang menggabungkan parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan bagi menuntu pilihan raya yang bersih dan adil. Tema mereka yang menyertai perarakan gergasi itu ialah memakai baju kuning. Sekali lagi Umno dan BN digerunkan dengan lautan rakyat marhaen  berjau kuning berarak ke arah Istana Negara bagi menyerahkan memorandum. Rakyat berhadapan dengan ribuan anggota FRU dan polis yang lengkap dengan senjata, gas pemedih mata dan penyembur air kimia. Umno dan BN takutkan warna kuning.

Lama sebelum episod ini dalam pertengahan tahun 1990an Umno dan BN takukan warna hijau sehingga Petronas terpaksa membelanjakan ratusan juta wang rakyat untuk menukar semula logo Petronas pada setiap stesen minyak, produk, pejabat dan apa saja yang berlogokan Petronas. Hujah perwakilan semasa perhimpunan Umno ketika itu warna hijau pada logo Petronas sama dengan warna logo PAS. Umno dan BN takutkan warna hijau.

Umno dan BN juga takut kepada istilah. Dahulu semasa gerakan reformasi yang dipelopori oleh Parti Keadilan Nasional ketika itu (sekarang Parti Keadilan Rakyat) mana-mana papan kenyataan yang mengandungi perkataan "keadilan" diarah dipadamkan serta merta. Ini pernah berlaku pada satu papan tanda disebuah mahkamah di Alor Setar. Malah siaran berita juga dilarang menggunakan istilah "keadilan" takut-takut nanti rakyat terpengaruh dengan gerakan reformasi yang diketuai Anwar Ibrahim.

Sejak kekalahan teruk Umno dan BN pada pilihan raya umum ke 12 tahun lalu bertambah-tambahlah ketakutan Najib. Untuk menghilangkan rasa takutnya beliau pun nula melaungkan slogan-slogan rakyat yang dipopularkan oleh Pakatan Rakyat. 

Rakyat pun terkejut apabila keluar daripada mulut Najib slogan seperti "Suara Rakyat Suara Keramat", "Rakyat Didahulukan" dan sebagainya. Yang pasti ia hanya kata-kata dan slogan-slogan kosong yang tidak membawa apa-apa makna kerana tiada keikhlasan dalam lafaz-lafaz tersebut. Bak kata oang sekadar melepaskan batuk ditangga dan halwa telinga kepada yang mendengar, tidak lebih daripada itu.

Kini terbaru Najib ingin sangat rakyat merestui permintaannya untuk menjadi "Perdana Menteri Rakyat". Di Bukit Gantang dan Bukit Selambau Umno dan BN juga meminta restu rakyat tetapi malangbya ditolak bulat-bulat oleh rakyat. 

Sebelum itu rakyat juga tidak merestui Umno dan BN di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Sanggupkah Umno dan BN menerima khabar buruk daripada rakyat Penanti sekiranya mereka juga tidak mahu memberi restu?

Benarkah Najib mahu menjadi Perdana Menteri Rakyat. Selama negara merdeka Malaysia sudah mempunyai lima Perdana Menteri, tidak pernah seorang pun yang dikenali sebagai Perdana Menteri Rakyat. Mereka semua tahu keperdanamenterian mereka adalah untuk semua lapisan rakyat. Kini negara pertama kalinya mempunyai Perdana Menteri Rakyat seperti juga Islam di Malaysia ada penambahan menjadi Islam Hadhari. Adakah perlu Najib meletak perkataan rakyat selepas jawatannya atau beliau sebenarnya masih belum pasti sama ada beliau Perdana Menteri untuk rakyat atau tidak.

Sekiranya beliau ikhlas mahu menjadi Perdana Menteri Rakyat mestilah semua tindakannya berlandaskan kepentingan rakyat, sama seperti dalam slogan beliau "Rakyat Didahulukan". Kalau beliau jujur mahu mendahulukan rakyat maka tidak menjadi masalahlah untuk mengabulkan permintaan rakyat Perak yang mahu DUN Perak dibubarkan seberapa segera.
Rakyat Perak mahu memilih kerajaan negeri mereka sendiri setelah kerajaan pilihan Pakatan Rakyat didurjanakan oleh Umno dan BN tiga bulan lalu. Dahulukan desakan rakyat Perak baru berbaloi Najib pakai pangkat Perdana Menteri Rakyat. 

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: