"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno/BN : TV Islam, BN cuba pancing undi Melayu

Irwan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Umno dan Barisan Nasional (BN) cuba menarik sokongan undi orang Melayu dengan mengadakan saluran TV Islam sebagai persiapan mereka untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, tegas Ketua Penerangan PAS yang baru, Ustaz Idris Ahmad.


Tegas beliau, sudah menjadi trend setiap Perdana Menteri yang baru dilantik akan membina imej untuk menarik sokongan dan saluran TV Islam merupakan strategi Dato' Seri Najib Razak Tun Razak untuk dilihat Islamik.

Malah perkara ini pernah dijelaskan oleh Tun Dr Mahathir Muhamad dalam buku 'The Malay Dilema' yang mengaitkan usaha kerajaan Perikatan membuat program untuk menarik sokongan orang Melayu.

"Ini merupakan cara Umno/BN untuk menarik sokongan orang Melayu terutama di luar bandar. Usaha seperti ini perlu dilakukan untuk membina imej seorang Perdana Menteri yang baru dilantik bagi mendapatkan sokongan.

"Ia bukan perkara baru kerana di zaman Tunku Abdul Rahman dianjurkan musabaqah membaca al-Quran untuk dilihat Islamik dan menarik sokongan orang Melayu," tegas beliau.

Dalam pada itu, Idris berharap jika saluran ini diadakan, dakwah yang dilakukan hendaklah mengikut versi Nabi Muhammad s.a.w. bukan dakwah versi Umno. Jika dakwah versi Umno dimuatkan dalam setiap program saluran tersebut, ia dibimbangi tidak akan mencapai matlamatnya.

Kerajaan baru-baru ini meluluskan sebuah lagi saluran televisyen baru yang dikhaskan untuk televisyan Islam. Ia dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dan dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Khir Baharom.


Tiada ulasan: