SANTIAGO, Feb 28: Lebih 200 orang terbunuh dalam gempa bumi sekuat 8.8 pada skala Richter menggegarkan bahagian selatan Chile petang semalam (waktu Malaysia) - gegaran lebih kuat berbanding yang dialami Haiti bulan lalu.
Gempa bumi terkuat dirasai Chile ini telah mengorbankan 214 orang setakat ini (pagi waktu Malaysia), kata Menteri Dalam Negerinya Edmundo Perez.
Angka kematian dijangka terus meningkat.
Tinjauan Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gempa bumi tersebut berlaku pada pukul 3.34 pagi waktu tempatan (2.43 petang semalam waktu Malaysia), 90 kilometer dari timur laut bandar Conception pada kedalaman 35 kilometer.
Laporan radio dan televisyen menyebut beberapa bangunan runtuh di bandar raya Curico dan terdapat kerosakan pada bangunan bersejarah di tengah ibu negara Santiago, kira-kira 320 km dari utara pusat gempa.
Lapangan terbang antarabangsa di Santiago ditutup dan sebuah jambatan lebuh raya runtuh.
Apartmen-apartmen yang baru dibina juga ranap sama sekali.
Berjuta-juta orang membanjiri jalan raya dalam kegelapan ekoran gangguan bekalan elektrik.
Presiden Michelle Bachelet mengisytiharkan perintah bencana ketika pasukan mencari dan menyelamat meneruskan usaha mengesan mangsa-mangsa yang terselamat.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran bagi negara-negara di Amerika Latin dan juga kepada Jepun, Rusia, Filipina, Indonesia dan French Polynesia.
Tsunami di rantau Asia dan Asia Pasifik dijangka berlaku di antara 12 hingga 15 jam selepas gempa bumi.
Ombak besar melanda pulau Robinson Crusoe, wilayah terbesar di kepulauan Fernández dengan sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan terbunuh.
Penduduk dari Pulau Easter dipindahkan.
Bunyi siren amaran tsunami dikeluarkan di kawasan Hawaii sekitar pukul 6 pagi waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia).
Dalam pada itu Bernama melaporkan Wisma Putra masih cuba mewujudkan hubungan komunikasi dengan Kedutaan Malaysia di Santiago bagi mengetahui nasib rakyat Malaysia.
Timbalan Menteri Luar A.Kohilan Pillay memberitahu Bernama laporan awal media menyebut talian telephone dan bekalan elektrik terputus akibat kejadian itu .
Keadaan itu menjejaskan usaha menghubungi pegawai kedutaan bagi mendapatkan perkembangan terbaru mengenai keselamatan rakyat Malaysia serta keadaan menyeluruh di sana, katanya.
"Usaha berterusan sedang dilakukan bagi menghubungi pegawai kedutaan kita di negara itu," katanya.
Bagaimanapun, bilangan rakyat Malaysia di negara, yang penduduknya berjumlah 17 juta, belum dipastikan.
-malaysianinsider-
Susulan gempa Chile: Amaran pantai timur Sabah bergelora
Penduduk di kawasan pantai timur Sabah, meliputi Tawau, Sandakan dan Lahad Datu, dinasihatkan menjauhi pantai kerana terdapat kemungkinan akan berlaku keadaan laut bergelora dan kenaikan paras laut bermula 12 tengah hari sehingga 6 petang hari ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, ini berikutan gempa bumi di Chile yang mencetuskan ombak tsunami di beberapa kawasan di pantai Chile, Mexico, Tahiti, Hawaii, Tonga, Kepulauan Samoa dan New Zealand.
Pada 2.34 petang semalam, satu gempa bumi kuat berukuran 8.8 pada skala Richter melanda pantai Chile Tengah dan sehingga kini lebih 200 orang dilaporkan terkorban di negara itu.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan