Hashim Abdullah
BERA, 22 Mac: Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) berkata, terdapat banyak maklumat yang menunjukkan kerajaan akan melakukan tindakan agresif terhadapnya termasuk kemungkinan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, penahanannya baru-baru ini bertujuan untuk menakutkan dirinya dan masyarakat peneroka menghadiri program yang dianjurkan sekali gus berusaha menutup kepincangan pengurusan Felda dan kerajaan Umno/BN.
“Penahanan saya adalah untuk menakutkan masyarakat Felda untuk menjemput saya berceramah. Mereka berusaha untuk menutup kepincangan yang dilakukan dalam pengurusan Felda termasuk penindasan terhadap masyarakat peneroka.
“Saya menerima banyak maklumat yang diberikan oleh banyak pihak tentang bagaimana penyelewengan berlaku. Saya ada 15 isu yang akan saya dedahkan satu persatu. Saya akan dedahkan walau pun saya juga mendapat maklumat bahawa saya dicadangkan agar saya ditahan dibawah ISA,” katanya ketika berucap dalam program yang dianjurkan PAS kawasan di Darul Ikhwan, Mengkarak, dekat sini semalam.
Selepas peristiwa yang berlaku di Felda Lembah Klau, baru-baru ini, beliau menerima banyak sokongan dari masyarakat peneroka dan generasi kedua Felda yang mahu penjelasan diberikan agar kehidupan mereka terbela.
“Selepas saya ditangkap ramai peneroka terutama generasi keduanya tak puas hati dan marah kepada Felda. Malahan, selepas itu semakin ramai anak Felda yang mahu menyertai persatuannya kerana tahu inilah saja pentas yang boleh diharapkan dapat membela masa depan mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan