"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sikap Polong Awang Adek

Mohd Sayuti Omar

SAYA tertarik dengan sindiran Awang Adek Hussein agar Kelantan tidak terus menjadi negeri pengeksport rakyat untuk bekerja di luar. Sepatutnya rakyat Kelantan berkerja di negeri sendiri untuk membangun negeri mereka. Itulah sepatutnya yang diingini oleh Awang Adek dan semua rakyat Kelantan.

Mengikut perangkaan tidak rasmi lebih 180,000 rakyat Kelantan berada di Lembah Kelang sahaja, termasuk Awang Adek Hussein dan saya sendiri.

Kebanyakan mereka berhijrah untuk mencari makan di rantau orang. Penghijrahan ini bukan berlaku setahun dua ini tetapi ia berlaku sejak lama dulu. Bukan saja apabila Kelantan di perintah Pas tahun 1959 hingga 1978, tetapi selepas tahun 1978 sampai ke 1990 rakyat Kelantan berbodong-bodong berhijrah ke luar untuk cari makan. Pengeksportan rakyat ke luar turut sama berlaku di zaman UBN memerintah Kelantan.

Mereka bukan sahaja tertumpu ke Kuala Lumpur, tetapi serta ibu negeri di negara ini. Satu masa dulu Singapura menjadi tempat tumpuan rakyat Kelantan untuk berkerja sebagai boroh kasar. Mereka berhijrah ada setengahnya bukan kerana ketiadaan kerja di sana tetapi didorong oleh semangat ingin mencuba dan mencari kejayaan di rantau orang.

Rakyat Kelantan pernah ke Kedah untuk mengambil upah membanting padi. Musim padi mereka akan berbodong ke Kedah. Sambil itu mereka bawa kain batik untuk dijual. Salah seorang yang berniaga kain sambil membanting padi di Kedah ialah ayah kepada seorang menteri kini. Setengah yang lain pula akan meneroka hutan membuka tanah penempatan baru. Penerokaan mereka bukan saja terbatas di negeri Kelantan tetapi sampai ke Pahang.

Sebagai pakar kewangan dan ahli politik Awang Adek tentu tahu kenapa fenomena ini berlaku. Beliau juga mesti tahu bagaimana semangat dan kegigihan orang Kelantan dalam memperjuangkan hidup mereka.

Budaya berhijrah rakyat Kelantan itu nampaknya Awang Adek cuba hendak salah kerajaan Kelantan dengan apa yang berlaku. Beliau cuba memperdayakan orang agar mempercayainya fenomena itu kerana di Kelantan tidak ada kerja. Memang diakui, pekerjaaan di Kelantan berkurangan. Kerja untuk anak-anak muda yang kandas SPM tidak disediakan.

Ketiadaan kerja di Kelantan kepada siapa harus disalahkan? Kalau ikut Awang Adek ia salah kerajaan Pas. Saya tidak fikir kerajaan Pas tidak reti atau tidak mahu menyiapkan perkerjaan kepada rakyatnya. Dengan kewangan yang terbatas dan dihalang dari segenap segi oleh kerajaan Persekutuan tidak mudah untuk mereka menyediakan peluang pekerjaan.

Tengoklah apa yang berlaku ke atas royalti minyak yang patut diterima negeri Kelantan. Siapa yang berkeras menggunakan berbagai alasan dangkal dan sanggup melanggari prinsip keadilan semata-mata hendak halang Kelantan dari mendapat wang royalti berkenaan. Bukankah salah seorangnya Awang Adek?

Dalam satu perjumpaan dengan jentera Umno Awang Adek sudah menegaskan royalti minyak itu tidak akan dimasukkan ke dalam perbendaharaan negeri Kelantan selagi kuasa politik Kelantan ditangan Pas. Apakah makna ini semua kalau ia bukan dengki dan perangai jahat.

Dalam hal ini kalau Awang Adek benar ada simpati dan semangat untuk membela nasib rakyat Kelantan beliau tidak hanya tahu berkata-kata dan menyalahkan kerajaan negeri saja. Beliau harus berfikir bagaimana hendak menyediakan peluang perkerjaan di Kelantan. Dan beliau juga tidak akan mengambil sikap penyamun tidak mahu wang itu diterima Kelantan.

Setiap kali menjelang pilihan raya UBN berjanji akan menyediakan ribuan peluang perkerjaan. Akan bangun kilang itu dan industri ini. Tetapi selepas selesai pilihan raya semua projek untuk bina kilang dan perusahawaan terbiar begitu saja. Batu asas yang diletak untuk bangunkan kilang akhirnya tumbang dan kawasan yang dibersihkan ditumbuhi semak samun. Kerja itu tidak lebih daripada hendak mengabui mata rakyat saja.

Kalau tidak salah ingatan Mustapa Mohamed berjanji untuk membina kilang Porton dan kilang kasut di Jeli. Pembinaan itu akan memberi peluang pekerajaan kepada penduduk Jeli. Janji itu ternyata hanya tinggal janji saja, usahlah kilang Proton kilang buat tali kasut pun tidak ada. Anak muda Jeli yang ingin bertukar kerja dari menoreh getah hari ini terus juga menoreh getah. Mungkin kalau diharap kepada kerja di kilang yang dijanjikan Mustapa ibarat kata berlaparlah mereka anak beranak.

Kenapa berlaku pengeksportan rakyat Kelantan ke luar ianya salah Awang Adek dan gengnya juga. Sikap diskriminasi kepada Kelantan menyebabkan perkembangan ekonomi yang memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan lemah.

Segala projek pembangunan yang seharusnya dilaksanakan di Kelantan, untuk mengguna pakai segala komoditi dan modal yang ada disekat oleh kerajaan Pusat. Syarat-syarat besar yang ingin melabur di Kelantan juga dihalang dan dikenakan berbagai levi yang berlipat ganda. Urusan seperti lesen dan permit juga dipersulitkan.

Kalau Awang Adek tidak ikhlas untuk bantu rakyat Kelantan usahlah salahkan Pas. Sebagai seorang yang cerdik dan bijak dari bekas Ketua Umno Bahagian Bachok, Ahmad Shahibuddin Mohd Noor, sepatutnya Awang Adek berusaha membawa balik projek ke Kelantan. Usah pedulikan siapa memerintah Kelantan. Kalau tidak nak bangunkan sendiri tetapi berilah laluan kepada kerajaan Pas Kelantan. Bukankah apa yang kerajaan Pas hendak lakukan itu untuk membantu rakyat?

http://msomelayu.blogspot.com/

1 ulasan:

Kekacang berkata...

Dulu sokongan aku kepada PR jelas, tetapi makin lama makin membosankan kerana terlalu banyak imaginasi pimpinan PR yang tidak berpijak di bumi nyata. Banyak angan - angan.
Fakta rakyat Kelantan suka cari makan di tempat orang, hanya satu dongengan. Mengapa masih digunapakai.
Nanti bila dikaji rakyat Kelantan banyak yang bercerai. Keluar pula hujah, rakyat Kelantan memang suka bercerai, sebab nak tukar pasangan.
Jika dikaji ramai GRO dari Kelantan, sebab rakyat Kelantan suka jadi GRO dan menjual diri.
Apakah hina sangat rakyat Kelantan sehingga hujah bodoh seperti ini digunapakai?
Apakah Kerajaan Kelantan sendiri tidak hendak mengakui kegagalan dan kelemahan mereka. Sampai bila pun kelemahan ini tidak dapat diperbaiki.