"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota polis dipenjara,denda kerana rasuah RM200

KUALA LUMPUR, 6 April: Kerana menerima sogokan RM200, seorang sarjan polis trafik berkemungkinan tidak lagi layak menerima gratuiti dan pencen bagi perkhidmatannya selama 30 tahun dalam sektor awam.

Ini kerana Mohd Nazar Jalaludin, 49, dari Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, disabitkan dalam kes rasuah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Rosbiahanin Arifin, yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan terhadapnya, memerintahkan dia menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Beliau mendapati Mohd Nazar gagal menimbulkan keraguan munasabah ketika dipanggil membela diri.

Mohd Nazar didakwa menerima rasuah itu daripada Zaleha Mat Nor, 42, sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes Mohd Hafizi Marji, 19, berhubung satu kesalahan jalan raya, dengan tidak membawa kes itu ke mahkamah.

Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Team A, Balai Polis Trafik, Jalan Tun H.S Lee pada 5.30 petang 19 April 2008.

Mohd Nazar, yang telah berkhidmat selama 30 tahun dengan Polis Diraja Malaysia, kelihatan sugul di kandang tertuduh, dan dia dilihat menahan sebak sejurus Rosbiahanin menolak permohonan peguam T. Suresh, yang mewakilinya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda.

Rosbiahanin memerintahkan Mohd Nazar menjalani hukuman itu sehingga rayuan kesnya dibuat.

Dalam permohonan penangguhan hukuman, Suresh berkata anak guamnya tidak mempunyai wang untuk membayar denda RM10,000.

Timbalan Pendakwa Raya Fadzillah Mohd Osman memohon mahkamah menolak permohonan itu kerana hukuman penjara dan denda sepatutnya tidak boleh ditangguhkan.

-Bernama-

Tiada ulasan: