Bernama
Seorang lelaki tempatan maut ditembak di hadapan sebuah premis pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai, dekat Iskandar Puteri malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira 11 malam daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun.
Katanya mangsa yang juga 27 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan itu.
“Kejadian juga menyebabkan seorang lagi lelaki tempatan 27 tahun cedera akibat terkena tembakan.
“Polis mempercayai terdapat seorang lagi mangsa cedera, namun telah dibawa keluar oleh kenalannya selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan berkata polis kini memburu dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan meminta mangsa yang cedera tampil membantu siasatan.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan ASP Afiq Izani menerusi talian 019-3683036 atau Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri 07-5113622 atau hotline 07-5114486.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan