G. Manimaran
KUALA LUMPUR, 11 April: Tinggal empat hari lagi Barisan Nasional (BN) dijadual mengumumkan nama calonnya, yang sudah pasti dari MIC, tetapi Timbalan Ketua Pemuda pusat parti itu V. Mugilan disebut-sebut berada di hadapan dari segi populariti di kalangan beberapa nama sedang diperhalusi.
Maklumat terbaru diperoleh The Malaysian Insider menunjukkan Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor lebih popular dalam pungutan yang dikendalikan oleh badan rasmi dan bukan rasmi sejak beberapa hari lalu.
Pada umumnya, Mugilan dikatakan popular di kalangan ahli dan penyokong Umno berbanding Pengerusi MIC Selangor dan Ketua MIC Hulu Selangor Datuk G. Palanivel yang mendapat tempat di kalangan pengundi India tetapi bukan di kalangan ahli Umno.
Malah pungutan suara kendalian portal-portal dan laman-laman web juga menunjukkan sokongan kini memihak kepada Mugilan, seorang ahli perniagaan dan bekas kakitangan awam, untuk dipilih sebagai calon.
Perkara itu dikatakan turut dibangkitkan dalam satu pertemuan membabitkan 120 pemimpin badan-badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India di ibu negara malam tadi.
Nama Mugilan dikatakan lebih popular di kalangan hadirin berbanding Palanivel, timbalan presiden MIC, dan mereka lebih selesa jika pemimpin sayap Pemuda MIC itu diberi peluang membawa saingan BN di Hulu Selangor kali ini.
Laporan sebelum ini menyebut, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu telah memanjangkan nama Palanivel, penyelaras Parlimen Hulu Selangor, untuk membawa cabaran BN.
Sehingga kini, Samy Vellu dan pemimpin tertinggi kerajaan BN enggan mengesahkan sama ada terdapat nama-nama lain selain Palanivel telah dikemukakan untuk pertimbangan Pengerusi BN.
Bagaimanapun nama Mugilan dan Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan dari MIC Bahagian Selayang dikatakan menjadi pertimbangan kepimpinan BN.
Samy Vellu juga dikatakan menunjukkan bayangan positif untuk membolehkan Kamalanathan dipilih sebagai calon jika keadaan terdesak untuk menggugurkan Palanivel.
Palanivel masih mempunyai kelebihan atas kapasiti sebagai wakil rakyat selama 18 tahun dan statusnya sebagai timbalan presiden MIC.
Facebook Kelab Penyokong BN Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pula antara lain membawa mesej yang berbunyi “Umno Bahagian Hulu Selangor khabarnya telah bersetuju untuk memilih Mugilan, anak tempatan dari MIC untuk menjadi calon pada pilihan raya kecil Hulu Selangor.”
“Mugilan akan menjadi ‘proksi atau anak didik’ kepada Umno,” kata facebook itu seolah-olah menunjukkan Umno sanggup berkompromi jika calon muda muka baru diletakkan di Hulu Selangor.
Dalam pada itu, mesej laman web Kelab Maya Umno pula menyebut, “Mugilan naik namanya melalui pengesahan Umno, parti keramat Melayu... bermakna Mugilan adalah calon pilihan Umno Hulu Selangor, yang mempunyai 25,000 ahli di sana.”
Kata laman web itu, usaha Umno untuk mendapatkan calon ‘pilihan’ mereka berjaya walaupun kerusi itu kekal di tangan MIC. Laman web itu menambah, “mudah cerita Mugilan akan mengikut kata Umno bahagian.”
“Walaupun pada dasarnya, orang Melayu bukan calon BN, namun bila Umno bahagian sendiri beri kelulusan bermakna kata putus suara Melayu akan dilontarkan oleh Mugilan di Parlimen kelak, insya-Allah jika memang...,” kata laman itu.
Mugilan dikatakan kekal popular walaupun membawa kes saman terhadap barisan kepimpinan Kelab Bell Belia Tamil yang menggugurkan beliau naib presiden kelab.
“Kami telah memecat beliau Disember lalu dan beliau membawa kes saman di mana ia akan disebut semula Rabu ini, kata Pengerusi kelab itu K. Muraly kepada The Malaysian Insider.
Mugilan, anak kelahiran Ladang Kerling, Hulu Selangor disebut-sebut sebagai calon paling popular untuk dipilih bagi mewakili BN pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
Bagi masyarakat Hulu Selangor yang mempunyai 64,500 pengundi, pemuda berusia 35 tahun itu sudah tidak asing lagi kerana telah menerajui Pemuda MIC Hulu Selangor sejak 10 tahun yang lalu.
Mugilan juga merupakan pengurus kempen semasa Palanivel bertanding di kerusi berkenaan dua tahun lalu.
Rabu lalu Najib, Perdana Menteri mengesahkan bahawa kerusi Parlimen berkenaan akan ditandingi oleh calon daripada MIC.
Pilihan raya kecil tersebut diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu kerana barah otak.
Dalam pilihan raya umum lalu, Allahyarham yang mewakili Parti Keadilan Rakyat merampas kerusi berkenaan yang dikuasai BN sejak pilihan raya umum pertama 1959.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan