"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Keadilan' ganti Suara Keadilan

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 12 Julai:
Akhbar Parti Keadilan Rakyat versi baru yang diberi nama 'Keadilan' menggantikan Suara Keadilan, diedar secara percuma kepada rakyat sekitar Masjid Jamek hari ini.

Dengan jumlah keseluruhan 24 muka surat, akhbar Keadilan bukan lagi diterbitkan PKR, sebaliknya oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebagai mewakili pihak PKR.

Pengedaran naskhah baru itu dibuat AMK bermula jam 8 pagi tadi.

Edisi baru kali ini meletakkan tajuk "Tidak perbaharui permit Suara Keadilan ADA NIAT JAHAT" di muka hadapan sebagai respon tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggangtung tidak bertali Suara Keadilan bersama tajuk "Kenapa Najib sensitif isu Felda?".

Turut dimuatkan dakwaan lima "kemungkaran" pengurusan Felda termasuk Projek Ternakan Lembu (RM688 juta), Pelaburan bio-diesel (RM3 bilion) dan dakwaan RM360 juta wang Felda dibelanjakan untuk projek bukan bidang Felda.

Manakala muka belakang akhbar tersebut diletakkan tajuk "Umno perbaharui kontrak Apco?".

Empat ratus naskhah selesai diedar pagi tadi kepada orang ramai dalam masa 20 minit diketuai Ketua Penerangan AMK Lee Kai Loon dengan diawasi pihak polis.

Difahamkan, edisi Keadilan ini dicetak dengan jumlah hanya 30 ribu sebagai keluaran pengenalan dan pemberitahuan kepada rakyat menggantikan Suara Keadilan.

KDN sehingga kini belum meluluskan permohonan memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan.

Akhbar itu sebelum ini telah dipanggil memberi penjelasan berhubung laporan "Felda Bankrap" namun pihak KDN mendakwa tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

Permit penerbitan akhbar itu telah tamat 30 Jun lalu.

Biarpun diberi amaran oleh KDN, penerbitan akhbar tersebut tetap diteruskan dengan edisi "Keadilan".

Tiada ulasan: