"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahathir rupanya masih bermimpi !

Afrar Yunus

Apabila Tun Mahathir Mohamed memberikan pandangannya bahawa kekayaan negara perlu diagihkan secara adil dan bukannya secara sama rata kepada rakyatnya, maka saya teringat apa yang dikatakan oleh Profesor Jomo Kwame Sundram, mantan pensyarah ekonomi Institut Pengajian Tinggi Awam yang kini diberikan tugas di Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mahathir bercakap soal kekayaan sesama kaum. Saya agak terkejut dengan kenyataan Mahathir.

Sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan biasa memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, sepatutnya isu seperti ini tidak lagi timbul dan sesudah beliau tidak lagi di tampok pemerintahan.

Beliau sepatutnya malu pada diri sendiri kerana gagal memperbetulkan bukan sahaja ketempangan ekonomi, malah jurang politik dan sosial masyarakatnya. Beliau diantara pemimpin yang digelar autokratik. Satu ketika dahulu, beliau digelar Hitler dan Mahafiraun oleh musuh-musuh politiknya.

Sepatutnya dengan cengkaman pengaruh selama menjadi Perdana Menteri, beliau sudah dapat merubah apa yang beliau cakapkan dan bukan bercakap dalam keadaan tanpa ada kuasa sekarang.

Saya menerima hakikat bahawa proton, perindustrian lain, Petronas, lapangan terbang antarabangsa KLIA, Putrajaya dan pelbagai projek besar dan hebat wujud dan menaikkan namanya dan juga nama Malaysia.

Kita tidak alpa, rasuah mula bertapak dan menjadi wabak di zamannya. Badan kehakiman diperkosa. Agensi-agensi kerajaan dimanipulasi sebegitu rupa. Perkhidmatan awam terpaksa berhati-hati dalam tuntutannya. Hak asasi seperti kebebasan bersuara dan berhimpun mahasiswa dan orang awam berada pada tahap yang cukup teruk di bawah kepimpinan ala-diktatornya.

Belum lagi tuduhan demi tuduhan Barry Wain dalam bukunya 'Malaysian Maverick : Mahathir Mohamad in Turbulent Times'.

Biar beberapa Rancangan Malaysia digubal serta datang dan pergi.

Bak kata Profesor Jomo, ekuiti 30% kekayaan negara yang sepatutnya diberikan secara adil sesama orang Melayu pun telah disalahguna oleh Mahathir dengan memberikannya kepada beberapa individu atau kenalan yang dipercayainya sahaja.

Akhirnya Malaysia berada seperti ianya kelihatan pada hari ini. Dasar penswastaan negara Mahathir bukanlah membuka peluang persaingan ekonomi tetapi syarikat-syarikat gergasi tunggal diwujud dan dianugerahkan dalam penawaran perkhidmatan besar negara seperti TNB, Lebuhraya, MAS dan GLC seumpamanya.

Dasar-dasar itu merupakan faktor penyumbang pada ketidakstabilan rakyat dan negara pada hari ini. Mereka yang kaya, terus menambah-nambahkan kekayaan mereka. Golongan yang miskin semakin dihimpit kegelisahan.

Dasar penswastaan Mahathir akhirnya akan rebah satu demi satu kerana tanggungjawab sosial negara diperturunkan kepada syarikat-syarikat yang tidak berhati perut.

Kita bernasib baik kerana rakyat Malaysia bukan jenis mereka yang 'berbaju merah' di Thailand.

Jika tidak, sudah lama dipenjarakan mereka ini.


Mahathir berlegar-legar di arena politik Malaysia bukan sahaja kerana mahu mengaktifkan mindanya, tetapi juga berperanan sebagai pagar kepada mereka yang telah mendapat dan menikmati sebahagian dari ekuiti 30% Bumiputera, selagi masih boleh.

Hanya rakyat Malaysia sahaja akan menentukan samada Mahathir berwajah dua seperti dakwaan Barry Wain.

Adilkah apabila hanya beberapa kerat orang Melayu kroni sahaja yang melimpah-limpah mengaut kekayaan negara.

Belum lagi Melayu lain. Belum lagi Cina, Tamil, Kadazan dan sebagainya.

Mahathir rupanya masih bermimpi !

http://alkerohi.blogspot.com/

Tiada ulasan: