Anak Melaka
CUKAI jalan (road tax) kereta Proton Iswara saya yang sudah berusia 12 tahun mati baru-baru ini. Untuk memperbaharui cukai jalan, tentulah saya perlu memperbaharui insuransnya. Seperti tahun lalu, saya ke pejabat pos bagi membereskan urusan itu.
Selepas tiba giliran, saya menyerahkan sijil pendaftaran kenderaan dan salinan insurans tahun sebelumnya. Geli hati juga saya melihat kerani pos terkial-kial mengira jumlah wang insurans yang katanya telah meningkat mendadak tahun ini. Kira punya kira akhirnya saya pula hampir tersedak apabila dia memberitahu saya supaya membayar RM460.
Mana tidak terkejut besar saya mendengar jumlah itu. Baru tahun lalu saya hanya membayar RM91 untuk insurans, tahun ini kena bayar lima kali ganda. Disebabkan saya membawa sejumlah wang yang hanya cukup-cukup seperti tahun lalu, saya tidak terus membayarnya sebaliknya meminta kerani itu menyemaknya semula.
Kerani itu akur tetapi kemudian berkata, “memang betul, pak aji kena bayar RM460.00. Tapi kalau pak aji tak mahu, pak aji boleh ke syarikat insurans di seberang jalan sana, mungkin pak aji boleh dapatkan yang lebih murah di sana!”
Apa lagi, saya pun bergegas ke pejabat syarikat insurans itu. Kira punya kira akhirnya, kerani si gadis manis itu memberitahu saya jumlahnya RM405.06. Hai, tak jauh beza dengan apa ditawarkan di pejabat pos tadi. Apabila si kerani bertanya, jadi atau tidak jadi, terpaksalah saya mengaku tidak membawa duit sebanyak itu tetapi memintanya menyiapkan segera insurans berkenaan kerana saya akan ke mesin juruwang automatik.
Apabila sijil insurans siap, saya kembali ke pejabat pos untuk mendapatkan ‘road tax’. Kadar cukai jalan bagi kenderaan setaraf Proton Iswara adalah RM70 setahun sedangkan beberapa tahun lalu adalah sebanyak RM179 setahun. Pejabat pos pula mengenakan caj RM2 bagi perkhidmatannya.
Sekalipun kadar cukai jalan sudah dikurangkan lebih daripada separuh, hakikatnya harga insurans melambung tinggi menyebabkan pemilik kereta lama seperti saya menderita juga untuk membayar ‘road tax’.
Jika pemilik kereta lama yang berusia 12 tahun seperti saya merana ketika hendak membayar ‘road tax’, tidak dapat saya bayangkan derita pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun yang saya dengar terpaksa melalui karenah lebih teruk.
Dengar khabar, apabila mahu memperbaharui ‘road tax’, pemilik kenderaan berkenaan terpaksa melalui prosedur yang merumitkan melalui Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) dan Uni Asia untuk memperbaharui insurans kenderaan, selain peningkatan kadar bayaran yang didakwa sehingga 200 peratus berbanding sebelumnya.
Sebagai menyatakan rasa prihatin kepada pemilik kenderaan lama ini, PAS melalui Naib Presidennya, Salahuddin Ayub melancarkan satu gerakan rakyat bagi membela nasib mereka yang dinamakan Gerakan Bela Rakyat (Bela).
Salahuddin berkata pihaknya akan mengadakan persidangan meja bulat seterusnya secara berkumpulan dan hasil perbincangan akan dibawa ke persidangan Parlimen untuk mendapat pertimbangan kerajaan.
Memang benar, prosedur baru ini bukan saja menyusahkan rakyat kebanyakan terutama golongan bawahan tetapi menjejaskan kedudukan kewangan mereka dengan teruk sekali. Jika saya yang terpaksa membayar insurans yang kenaikannya sebanyak 500 peratus begitu tertekan, apa agak nasib Ramli, si tukang gunting yang memiliki sebuah Opel Kadett model 1978 dan Din, bekas askar yang memiliki Ford Escort 1974? Harap-harap mereka berjaya mendapatkan ‘road tax’ walaupun terpaksa melalui onak dan duri sedangkan hari-hari telinga mereka disumbat slogan dari corong radio dan televisyen, ‘1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
Selain soal insurans, satu lagi hal yang membebankan pengguna kenderaan adalah saman ekor. Seorang sahabat memberitahu dia mempunyai tiga saman ekor, menyebabkan usahanya untuk memperbaharui cukai jalan tertangguh. Hari pertama dia ke ibu pejabat polis Jalan Bandar, pembayaran tidak dapat dibuat kerana komputer ‘offline’ manakala hari kedua orang terlalu ramai. Maka pada hari ketiga barulah dia dapat menyelesaikan masalahnya itu.
“Masalahnya sekarang,” katanya, “polis tidak melayan sebarang rayuan, setiap saman kena RM300, jadi terbanglah duit saya sebanyak RM900. Kemudian bayar insurans dan ‘road tax’ yang jumlahnya ribuan ringgit. Saya benar-benar pokai sekarang ini, tapi apa nak buat, tidak bayar saman tidak boleh buat ‘road tax’. Tak ada ‘road tax’, kereta tak boleh bergerak, lagi payah saya dibuatnya.”
Selepas dibantah oleh orang ramai, barulah kerajaan bertindak menangguhkan saman ekor itu yang menurut sesetengah pakar perundangan tidak menepati kehendak perundangan, misalnya seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah oleh mahkmah termasuklah ketika berada di jalan raya.
1 ulasan:
Jawapannya begini.. Rakyat Malaysia harus bersatu dan Tumbangkan Umno-BN dalam Pru 13 nanti. Selagi Umno-BN berkuasa satu Malaysia kroni didahulukan.
Catat Ulasan