"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki maut motosikal dirempuh isteri, kepala dipijak

Buletin TV3 
Tangkap layar video tular memaparkan suspek memijak mangsa selepas kemalangan. – Foto Pee Ruay Phuea Thong Kwai dalam Facebook
SARABURI: Seorang lelaki maut selepas didakwa dirempuh isterinya menggunakan kereta dalam kejadian di Jalan Phahonyothin di sini, Rabu lalu.

Kejadian itu tular di media sosial menerusi rakaman video yang memaparkan sebuah kereta melanggar motosikal mangsa dari arah belakang sehingga lelaki terbabit tercampak ke jalan raya.

Wanita terbabit juga didakwa memijak mangsa sebaik keluar dari kenderaannya sebelum dilaporkan melarikan diri dari lokasi kejadian.

Menurut laporan MustShareNews, impak rempuhan menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan sebelum suspek keluar dari kenderaannya dan menghampiri lelaki itu.

Pasukan penyelamat kecemasan yang tiba di lokasi cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah termasuk patah kaki kanan dan beberapa kecederaan lain akibat rempuhan itu.

Menurut Bangkok Post, suspek dikenali sebagai Aree, 42, kemudian menyerah diri kepada polis, manakala mangsa dikenal pasti sebagai Aphisit, 38.

Siasatan awal mendapati pasangan itu dipercayai mempunyai masalah peribadi dan sering bertengkar berkaitan isu kewangan serta cemburu.

Aree mendakwa dia dan Aphisit tinggal bersama selama lapan bulan selepas suami pertamanya meninggal dunia dan dia menerima wang pampasan insurans nyawa.

Sepanjang hubungan itu, Aree mendakwa dia membelanjakan kira-kira 1 juta baht (kira-kira RM130,000) untuk mangsa, namun lelaki itu mula menjauhkan diri selepas wangnya habis.

Pada hari kejadian, Aree didakwa menunggu Aphisit dan bertindak mengejar serta merempuh mangsa dengan sengaja apabila melihat lelaki itu cuba melarikan diri.

Adik mangsa pula mendakwa pasangan itu sering bertengkar disebabkan masalah kewangan dan cemburu, malah suspek sebelum ini pernah mengugut untuk membunuh mangsa.

Pihak polis memaklumkan bahawa kes berkenaan masih lagi di bawah siasatan lanjut.

Tiada ulasan: