"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keda tak sedia penuhi perjanjian - Azizan

Mohd Shubihi Muhamad Zain
ALOR SETAR, 3 Ogos:
"Kita bersedia untuk menyambung kembali kontrak itu, dah hantar nama, dah jumpa menteri tapi nak buat macam mana, Keda yang tak bersedia untuk memenuhi perjanjian," kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar).

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kedah masih belum menerima maklum balas berhubung perlantikan dua wakilnya ke dalam Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) seperti perjanjian asal penubuhan agensi itu yang dipersetujui bersama.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media berhubung desas-desus penamatan kontrak Keda selepas berakhirnya Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, semalam.

Menurut Azizan, kerajaan negeri beranggapan agensi itu sudah tidak berminat untuk memperbaharui kontraknya yang bakal berakhir tahun hadapan berikutan penerimaan dingin Keda menyenaraikan dua wakil negeri sebagai Ahli Lembaga Pengarah sejak pemerintahan negeri bertukar tangan.

“Kontrak dengan Keda sebenarnya habis bulan Mei 2011, bila kita ambil alih mesti ada wakil negeri untuk bersama-sama mentadbir Keda di mana tanahnya hak Kedah dan yang duduk di situ pun rakyat Kedah, jadi kita rasa tak wajarlah mereka bersikap dingin macam itu.

"Kerajaan negeri dah berunding dengan agensi itu, dan kita diminta menyerahkan nama dua orang wakil negeri bagi mengisi kekosongan Ahli Lembaga Pengarah Keda.

"Kita dah hantar senarai nama yang diminta, seorang lawyer dan seorang engineer tapi sampai sekarang tidak ada jawapan dan kerajaan negeri beranggapan Keda sudah tidak berminat untuk menyambung kontrak," ujarnya yang juga Adun Sungai Limau.

Kata Azizan lagi, memandangkan tempoh kontrak yang masih lagi berbaki hampir setahun, kerajaan negeri masih membuka ruang untuk agensi itu berunding bagi mendapatkan penyelesaiannya.

"Kerajaan Kedah boleh menamatkan kontrak itu, tetapi kita masih mahu ianya diteruskan berdasarkan perjanjian terdahulu dan kita harap mereka menghormati perjanjian yang dipersetujui.

Keda ditubuhkan pada 28 Mei 1981 di bawah Akta 249 Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah 1981 bertujuan mempercepatkan pembangunan ekonomi di kawasan operasi meliputi 8,279 kilometer dan bersamaan 89 peratus daripada keluasan negeri Kedah.

Tiada ulasan: