"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua beranak nyaris maut ditetak pencuri bersenjata parang

PANTAI REMIS: Seorang warga emas dan anak lelakinya nyaris maut selepas ditetak dengan parang oleh seorang daripada tiga perompak yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Matang Acheh di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi, Che Omar Ahmad, 58, dan anaknya, Saiful Che Omar, 25, bagaimanapun hanya cedera di beberapa bahagian badan, kepala dan kaki. "Mereka dimasukkan ke Hospital Seri Manjung dekat sini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa bersama enam anggota lain keluarga yang sedang tidur menyedari rumah mereka dimasuki orang. Katanya, tiga suspek berkenaan yang memakai topeng muka telah mengumpil salah sebuah tingkap di bahagian dapur sebelum masuk ke dalam rumah. Katanya, kehadiran penceroboh disedari Saiful yang terus bergelut dengan mereka sebelum ayahnya tersedar dan datang membantu. Kedua-dua beranak diserang oleh suspek yang menggunakan parang dan mereka melarikan diri selepas kedua-dua mangsa rebah, katanya. Katanya, hanya empat buah telefon bimbit milik keluarga itu dilarikan. Mohd Jamil berkata, polis percaya jenayah berkenaan dilakukan oleh warga asing dan operasi memburu mereka sedang dijalankan. 
-Bernama-

Tiada ulasan: