Apabila melihat pembangunan yang sangat hebat di sekitar Mekah, saya terfikir: ‘Apa agaknya kata Nabi Ibrahim melihat pembangunan sehebat itu. Ketika Allah memerintahkan Nabi Ibrahim meletakkan Ismail dan Hajar di lembah yang tiada tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman dan binaan, juga ketika Allah memerintahkan Baginda berdua membina Kaabah dan menyeru manusia mengerjakan haji, Nabi Ibrahim taat sahaja walaupun di fikiran mungkin tertanya-tanya siapakah yang mendengar seruannya dan apakah yang bakal berlaku di Mekah ribuan tahun kemudian.
Saya juga teringat dengan jawapan Nabi Muhammad SAW kepada Jibril yang berupa sebagai lelaki segak dalam hadis Islam, Iman, Ihsan ketika Jibril bertanya Nabi tentang Kiamat. Lantas Nabi hanya menyebutkan tanda-tanda Kiamat kerana hanya Allah Yang Maha Mengetahui bila berlakunya Kiamat. Yang menarik dari pelbagai tanda Kiamat itu-kecil dan besarnya, Nabi Muhammad SAW menyebut: ‘..apabila engkau melihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing berbangga-banga menegak dan meninggikan bangunan.’ SubhanAllah! Nabi sebut satu tanda Kiamat dalam keadaan Mekah masih terlalu daif dan naif fizikalnya. Itulah mukjizat. Itulah tanda Kiamat. Dan itulah yang bakal kita lihat.
Saya juga menerima komen di bawah dari pengunjung portal saya berkenaan artikel ringkas di atas (Fakta benar/salah sila pastikan semula):
1. Dalil secara Qati’ (putus-tidak boleh dipertikai) untuk menyokong dan membenarkan bahawa Makkah al-Mukarramah adalah ‘Pusat Bumi’ seperti yang terkandung di dalam kitab-kitab Samawi spt Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran. Diikuti pula ilmu sains,astronomi dan geografi sebagai kajian dan resolusi kebenaran fakta tersebut. As-Syura:8 |Al-An’am:92
2. Menyatakan bahawa Makkah al-Mukarramah adalah sebagai ‘Tarikan Magnet Radiasi’ untuk Bumi. Bermakna tenaga semulajadi untuk jasad manusia boleh ditambah dan diperolehi dengan cara bersujud secara bersolat. Untuk mendapat cas tenaga ini, ciri sujud tersebut perlu betul, selaras dan bertepatan menghadap Ka’bah sebagai ‘Kiblat Pusat Bumi’. Untuk menetapkan Makkah sebagai ‘Kiblat Pusat Bumi’, penetapan serta persepakatan dari segi keadaan muka bumi, waktu dan masa yang betul perlu diseragamkan dan dipusatkan di sini. Maka, Makkah al-Mukarramah bukan sahaja pusat tarikan Magnet radiasi, tetapi ia juga merupakan tarikan ‘RUH’ umat Islam untuk melaksanakan amal ibadat.
3. Menyangkal fakta barat yang menyatakan bahawa permukaan bumi ini adalah 360 darjah. Sebenarnya ia adalah 390 darjah berdasarkan ukuran dari ‘Pusat Bumi Makkah’. Ukuran 390 darjah ini adalah lebih tepat berdasarkan persepakatan ahli di dalam bidang astronomi dan geografi Islam.
4. Mengukuhkan fakta yang menyatakan bahawa Ka’bah, masjid al-Quds dan masjid Nabawi adalah terletak di satu garisan geografi yang sama bermula dari Makkah dan berakhir di al-Quds al-Syarif. Berbeza dengan padangan yang sebaliknya. Maka, umat Islam di Palestin secara khususnya menghadap ke kiblat secara berhadapan terus ke arahnya tanpa perlu condong ke mana-mana arah. Begitu juga arah kiblat mereka juga terus menembusi ke arah masjid Nabawi, di Madinah al-Munawwarah. Ketiga-tiga masjid ini adalah merupakan saranan nabi Muhammad s.a.w untuk menziarahinya kerana keberkatan yang ada padanya.
5. Menyatukan dan memudahkan urusan waktu dan masa bagi ibadat HAJI, tahun HIJRAH dan sambutan hari kebesaran di dalam bulan Islam khususnya hari wukuf di Arafah yang sering menjadi perselisihan setiap tahun di Malaysia sekiranya menggunakan sistem GMT. Berbeza dengan sistem ‘Waktu Muslim Sedunia’ ini. Segalanya lebih baik dan tersusun.
6. Membina ‘JIHAD’ dan ‘KESATUAN’ umat Islam sedunia dari segi fikrah ‘MASA dan IBADAT’ dengan kewujudan ‘Waktu Antarabangsa Makkah’ bagi negara-negara Islam khususnya dan negara non-muslim secara amnya. Secara simboliknya, sistem Greenwich Mean Time (Waktu Min Greenwich) ini tidak lagi relevan dan sesuai diguna pakai di negara-negara Islam kerana banyak kelemahan dan ketidakserasian waktu dan masa untuk umat Islam.
7. Menyatakan bahawa GMT yang diasaskan oleh penjajah British ini adalah merupakan penyata garisan secara sangkaan salah mereka tanpa fakta dan kajian yang benar. Hal ini berlaku sewaktu penjajahan mereka di seluruh dunia pada tahun 1884 dengan menetapkan waktu di setiap negara-negara jajahan mereka adalah berdasarkan waktu dan masa di Britain. Ia bertujuan untuk memudahkan urusan pentadbiran dan pengurusan politik mereka dengan negara-negara tersebut.
Oleh itu, garisan panjang permukaan bumi Makkah bertepatan dengan garisan utara Magnet iaitu bersamaan ‘0′ darjah berbeza dengan penyelewengan yang telah ditetapkan oleh mereka berkenaan GMT iaitu dengan purata 8.5 darjah. Begitu juga di negara-negara selain Britain, sama ada ia berlaku penambahan atau pengurangan ukuran darjah permukaan bumi. Ini menyebabkan ketidakstabilan untuk umat Islam bagi menentukan arah kiblat dengan lebih tepat. Oleh sebab itu, GMT tidak sesuai lagi untuk dijadikan sebagai pegangan ‘MASA dan WAKTU’ penduduk dunia amnya dan negara-negara Islam secara khususnya sebagai pengurusan harian hidup. Bahkan Makkah al-Mukarramah adalah merupakan tumpuan dunia serta fokusnya adalah kepada Ka’bah al-Musyarrafah.
8. Menyahut seruan Allah s.w.t untuk bersatu dan bersistem dalam soal kehidupan manusia berdasarkan wahyunya di dalam al-Quran berkenaan isi kandungan surah al-A’sr (Demi Masa).
Wallahu A’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan