"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Orang Melayu tidak akan mengundi pemimpin India lagi - MPM

Lebih 100 NGO yang bergabung dalam Majlis Perundingan Melayu (MPM) berikrar tidak akan lagi sesekali memberikan sokongan kepada pemimpin India daripada pelbagai parti dalam mana-mana mana pilihan raya selepas ini.

Ini kerana, gabungan itu berpendapat, pemimpin dan aktivis kaum India telah memutarbelit dan berjaya mempengaruhi kerajaan untuk tunduk kepada ugutan dan tekanan dalam menangani isu novel kontroversi Interlok.

"Langkah kami yang pertama dalam usaha ini ialah menyebarkan gerakan bahawa orang Melayu tidak akan sekali-kali memberikan apa jua sokongan kepada mana-mana pemimpin India, baik dalam BN mahupun pembangkang, bermula dari mana-mana pilihan raya akan datang," demikian ikrar itu, seperti dipetik daripada memorandum mereka kepada Perdana Menteri Najib Razak semalam.

Semalam, MPM dan Persatuan Penulis Nasional (PENA) menyerahkan dua memorandum berasingan pada tangan Najib sendiri di ibu negara bagi membantah tindakan kerajaan mahu meminda novel Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain selepas didesak berterusan pemimpin MIC dan NGO India.

Antara yang hadir semalam Presiden PENA Mohamad Saleeh Rahamad dan dua ahli jawatankuasa pemandu MPM Datuk Kamaruddin Kachar dan Datuk Seri Helmi Ismail.

Dalam memorandum itu, gabungan 138 NGO - sebilangan besarnya kelompok karyawan, cendekiawan, aktivis, usahawan, pelajar dan pendidik Melayu - itu juga berpendapat, akibat desakan demi desakan, kerajaan kini berjaya dipengaruhi untuk tunduk kepada ugutan dan tekanan yang diberikan.

"Dengan penjelasan ini ia akan menampakkan betapa lemahnya kerajaan yang terlalu berkerompomi dengan mereka ini sehingga sanggup mengenepikan apa jua analisis rasional yang dihasilkan bagi menangkis ugutan dan tuntutan mereka itu," memorandum tujuh halaman itu dipetik.

Bagaimanapun, gabungan itu menegaskan, tindakan mereka bukan bermakna mahu menimbulkan sentimen hasutan untuk membenci kaum india tetapi bagi menyatakan kekesalan terhadap kelemahan kerajaan yang tunduk dengan mudah kepada ugutan dan tekanan.

Malah, tiada sebarang tindakan diambil terhadap kumpulan yang membakar novel Interlok dan gambar poster penulis novel berkenaan - yang dianggap berbaur hasutan - juga dikesalkan, menurut memorandum itu.

Sementara itu, Mohamad Saleeh pula dilporkan berkata, permintaan mereka perlu difahami sebagai "suara Melayu keseluruhannya" dan tidak sama sekali berniat jahat atau menggugat kerajaan.

“Kami hanya menjaga kepentingan dan maruah Melayu sebagai pemilik ketuanan dan negara dan tanah air kami,” katanya dalam memorandum itu, seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: