KUALA LUMPUR, 11 April: Di sebalik desas-desus kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada tahun ini, laporan media menyebut sudah ada notis meminta peperiksaan sekolah-sekolah kerajaan pada pertengahan tahun ini akan dipercepatkan dipercayai sebahagian daripada persiapan menghadapi hari pengundian kelak.
Laporan Sin Chew Daily hari ini menyebut, kerajaan persekutuan telah mengedarkan satu notis yang meminta pihak sekolah supaya mempercepatkan peperiksaan kerana pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada Jun atau Julai ini, bergantung pada keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.
Akhbar itu berkata beberapa sekolah di Negeri Sembilan juga telah menerima notis tersebut dan peperiksaan mesti diadakan pada bulan depan serta dewan sekolah pula tidak boleh disewakan kepada awam mulai Jun dan bulan seterusnya.
Penganalisis dan pemerhati politik berkata pilihan raya paling cepat akan diadakan pada Jun atau Julai dan mungkin pada Oktober memandangkan Ogos dan September merupakan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri manakala November umat Islam akan menunaikan haji.
Dalam pada itu, pengetua sebuah sekolah rendah kebangsaan Cina di Selangor berkata notis pemberitahuan seumpama itu biasa dihantar oleh Kementerian Pelajaran sebulan atau dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan walaupun tiada sebab yang dinyatakan.
“Tapi notis seperti ini boleh menjadi petunjuk pilihan raya dan biasanya ia tepat,” kata pengetua yang enggan namanya didedahkan.
Menurut Sin Chew Daily lagi, setakat ini sekolah yang menerima notis pemberitahuan itu tidak banyak dan pilihan raya umum akan diadakan berpandukan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak.
Proses pembuangan undi bagi pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan 16 April ini.
Dalam temu bual dengan Reuters awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan pilihan raya negeri Sarawak pertengahan bulan ini akan digunakan sebagai “ukuran” untuk menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13 sama ada dipercepatkan ataupun sebaliknya.
Pengerusi BN itu berkata kerajaan akan memutuskan masa yang sesuai bagi pilihan raya umum selepas pilihan raya negeri Sarawak.
-tvsnews-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan