"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tahniah, Malaysia ke 10 pengguna arak

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 23 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan 'tahniah' kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berjaya membawa Malaysia ke rangking ke-10 negara konsumer arak yang terbesar di dunia.

Kejayaan ini benar-benar diluar jangkaan rakyat kerana Malaysia yang pernah di umumkan sebagai sebuah Negara Islam oleh pemimpin Umno berjaya mengalahkan sebahagian besar negara-negara bukan Islam di Eropah dan Benua Amerika.

Demikian kata Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Kata Herman, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menganggap pengakuan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie sebagai satu bukti kejayaan gelap BN selama 12 penggal mereka memerintah negara ini.

Ranking yang telah disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) ini juga menyatakan bahawa rakyat Malaysia menghabiskan lebih dari RM1.5 bilion setahun untuk membeli arak.

Setiap tahun, 30 peratus kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku kerana pengaruh alkohol.

Malah lebih teruk dari itu, arak juga sering dikaitkan dengan jenayah penganiayaan, dera, rogol dan bunuh. Gejala pengambilan arak juga kini sudah menular kalangan pelajar sekolah.

"Sampai bilakah kerajaan BN mahu pertahankan rekod ini?" soal beliau.

Beliau mengesa kepada pihak berkuasa kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan persekutuan supaya serius menangani perkembangan industri arak dinegara ini.

Pengeluaran arak di kilang-kilang dalam negara hendaklah dikurangkan, dan permohonan lesen-lesen pengilangan dan penjualan arak baru hendaklah dibatalkan, cadang beliau.

DPPWP juga mahu pihak berwajib memantau aktiviti penjualan arak dikedai-kedai, restoran dan kelab malam.

Bagi beliau, arak tidak sepatutnya dibiarkan dijual secara terbuka seperti dikedai-kedai ubat dan 7-Eleven yang beroperasi 24 jam.

Akses pembelian arak yang begitu terbuka menyebabkan rakyat negara ini begitu mudah terlibat kepada gejala penagihan arak ini, katanya.

DPPWP juga kesal kerana kerajaan gagal menghalang umat Islam mengadakan urusniaga arak dan meminumnya.

Oleh itu, kerajaan wajib memberikan kuasa penuh kepada JAKIM dan Majlis Agama Negeri memantau umat Islam dari terjebak kepada arak, katanya.

Islam mengharamkan umatnya meminum arak. Bukan hanya kepada rakyat biasa tetapi kepada golongan kaya dan pemimpin sekalipun, hukumnya tetap haram disisi Islam.

"Bagi yang bukan Islam, DPPWP menasihatkan supaya menjauhi arak. Kesan mabuk akibat arak lebih banyak keburukkannya dari kebaikan. Maka carilah minum yang lebih menyihatkan dan memberikan kebaikan kepada diri anda," katanya.

Beliau juga berharap agar kerajaan tidak terus menerus menutup mata, memekakkan telinga hanya kerana cukai arak yang tinggi dapat memberikan pulangan kepada dana kewangan negara.

Ahli-ahli parlimen wajar membincangkan isu ini dan mencari langkah-langkah penyelesaikan terbaik bagi menyelamatkan rakyat, katanya.

DPPWP berharap agar pemimpin Islam dan bukan Islam dinegara ini dapat mengambil perhatian serius fakta WHO ini dan berusaha menjadikan negara ini bebas dari pengaruh arak, tambah beliau.

Tiada ulasan: