Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 22 Julai: Tidak ada sebab Teoh Beng Hock mahu terjun dari tingkap melainkan hendak menyelamatkan diri dari siasatan yang mungkin sangat ganas ke atasnya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan keputusan siasatan Suruhanjaya Diraja mendapati Teoh Beng Hock mati kerana membunuh diri, Mahfuz mempersoalkan adakah Teoh mati membunuh diri atau mahu menyelamatkan diri dari siasatan yang mungkin sangat ganas ke atasnya.
"Di mana-mana dan pada bila-bila masa pun, adalah lumrah seseorang yang diganasi oleh mereka yang mempunyai sifat seperti syaitan akan berusaha menyelamatkan dirinya," katanya.
Antara lain, kenyataan bertulis Nazri menyatakan Teoh "merasa terbeban and tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan".
"Begitu juga Penolong Ketua Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed. Beliau mungkin terbunuh akibat terjatuh semasa cuba menyelamatkan diri dari cara siasatan yang mungkin sangat ganas dan tidak berperikemanusiaan ke atasnya.
"Sama ada dalam kes Teoh atau Sarbaini, terjun atau terjatuh ketika berusaha menyelamatkan diri bukan bunuh diri," tegas beliau.
Dalam usaha menyelamatkan diri itu, katanya, tidak mustahil mereka cuba melarikan diri melalui tingkap kerana terlalu terdesak untuk mencari jalan keluar dari soal siasat yang disebut oleh Nazri sebagai "agresif dan berlarutan" itu.
"Walau terjun tingkap sekalipun dan bukan terjatuh secara tidak sengaja, ia tetap tidak boleh disifatkan sebagai membunuh diri kerana mereka mungkin berusaha untuk menyelamatkan diri dari siasatan yang mungkin sangat ganas dan tidak berperikemanusiaan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Beliau juga membangkitkan kembali keputusan mahkamah koroner yang menyatakan Teoh tidak mati bunuh diri dan tidak juga mati dibunuh.
"Memang tidak bunuh diri dan tidak dibunuh sebab beliau mungkin terjun atau terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri dari siasatan yang kejam, ganas dan tidak berperikemanusiaan," katanya lagi.
Mahfuz menyifatkan keputusan mahkamah koroner itu sebagai munasabah dan saksama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan