FMT Reporters
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa kenyataan dibuat oleh Nawawi Abdul Razak di Facebook pada 20 Sept adalah palsu dan berniat jahat.
KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin memfailkan saman fitnah terhadap seorang pengguna media sosial kerana mendakwa beliau memperoleh ‘faedah’ daripada Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).
Mohd Asri, yang juga dikenali sebagai Maza, mendakwa kenyataan dibuat oleh Nawawi Abdul Razak di Facebook pada 20 Sept adalah palsu dan berniat jahat sengaja mengaitkannya dengan GISBH.
“Kenyataan defendan (Nawawi) memberi gambaran bahawa plaintif (Mohd Asri) sebelum ini mempunyai kaitan rapat dengan GISBH tetapi kemudian menyalahgunakan kedudukannya untuk mengeluarkan fatwa (terhadap GISBH),” kata Mohd Asri dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi bulan lepas.
Mufti itu berkata, Nawawi menggunakan ‘Maza’ dalam catatan tersebut, merujuk kepadanya secara langsung.
Dilaporkan pada 20 Sept, Jawatankuasa Fatwa Perlis mengisytiharkan kepercayaan GISBH sebagai sesat yang memesongkan akidah umat Islam dan meneruskan kesinambungan ajaran al-Arqam.
Mohd Asri pada ketika itu berkata, jawatankuasa juga telah meneliti operasi ekonomi GISBH dan memutuskannya bercanggah dengan model ekonomi Islam yang sebenar.
Mufti itu melalui peguamnya mengeluarkan surat tuntutan terhadap Nawawi pada September, memintanya menurunkan kenyataan yang disangkal itu.
Menurut Mohd Asri, Nawawi mengaku menerima surat itu tetapi tidak mengendahkannya.
Beliau menuntut daripada Nawawi ganti rugi RM10 juta serta permohonan maaf terbuka yang disiarkan dalam akhbar tempatan.
Mahkamah menetapkan 11 Nov untuk pengurusan kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan