Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 5 April: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat terdesak apabila mengakui asas perolehan negara pada masa ini tidak kukuh dan tidak mampu membayar gaji penjawat awam.
Sedangkan pada akhir tahun lepas kerajaan bangga mengumumkan bahawa ekonomi berkembang dengan baik iaitu 4.5 peratus dan tahun ini dijangka melebihi 5.5 peratus.
Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, Najib membuat pengakuan itu demi untuk menarik perhatian kakitangan awam supaya menyokong pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang kini ditolak oleh majoriti rakyat.
"Kenyataan Najib itu membuka pekung pemerintahannya yang kini sedang sibuk menabur duit di Hulu Selangor sempena pilihanraya kecil.
"Tindakan Najib memaksa kakitangan awam menyokong dasar ini secara membuta tuli adalah tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip demokrasi negara ini dimana setiap warganegara berhak untuk membuat pilihan sama ada mahu menyokong atau tidak," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, tidak guna gaji kakitangan kerajaan dinaikan sedangkan dalam masa yang sama cukai GST diperkenalkan.
Jika GST dilaksanakan katanya, keadaan ekonomi kakitangan awam mungkin lebih teruk kerana kenaikan gaji hanya sekitar RM200-RM500 sahaja sedangkan pertambahan kos sara hidup berkemungkinan meningkat lebih dari kadar itu.
"Najib zalim kerana menjadikan kakitangan kerajaan sebagai 'hamba' yang kena terima apa sahaja yang kerajaan ingin lakukan", tambahnya lagi.
Oleh itu katanya, kakitangan kerajaan harus bijak dan menolak dasar ini. Kerajaan boleh tangguhkan kenaikkan gaji sehingga ekonomi pulih sepenuhnya tanpa perlu perkenalkan cukai baru.
Jika GST dilaksanakan, bukan sahaja 1.2 juta kakitangan awam akan jadi mangsa, lebih 25 juta rakyat Malaysia akan terima kesannya. Pekerja swasta yang tidak mendapat kenaikan gaji akan menerima kesan yang lebih teruk, kerana kos hidup mereka secara purata bertambah 4 peratus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan