"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno Bakal Hilang Kuasa Dalam PRU-13

SAFAR JUMAAT
KEBELAKANGAN ini, sejak BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen, hilang beberapa negeri termasuk Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan, timbul cerita Melayu akan hilang kuasa kalau pembangkang memenangi pilihan raya akan datang.

Cakap-cakap ini bukan datang dari kepimpinan Umno sahaja, malahan, turut diulang-ulang oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kebelakangan ini, selain disokong perjuangan NGO Melayu, Perkasa.

Rupa-rupanya, Umno baru sedar dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, yang Melayu akan kehilangan kuasa. Mereka (Umno) sedar kerana mereka hilang kuasa di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. 

Jika mereka tidak kehilangan kuasa di negeri-negeri ini, dan tidak hilang majoriti 2/3 di Parlimen, mereka mungkin tidak akan bercakap, tidak akan mengulang-ulang cerita yang Melayu akan kehilangan kuasa di Malaysia, sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.

Inilah baiknya sistem demokrasi. Ada jam loceng yang mengejutkan mereka dari lena yang panjang. Selama ini, ketika mereka berkuasa, mereka tidak pernah ingat bahawa kuasa yang mereka pegang itu, boleh hilang, boleh kurang dan boleh terlepas.

Kalau mereka (Umno) boleh bermuhasabah diri, tentulah mereka tidak menyalahkan sesiapa apabila kecundang. Malangnya, disebabkan kekalahan ini tidak pernah berlaku, kecuali hilang Kelantan sejak sekian lama, sesekali terlepas Sabah dan Terengganu, mereka ingat mereka mempunyai lampu ajaib untuk mengekalkan kuasa yang mereka pegang.

Dalam keadaan nanar kerana kehilangan kuasa, mereka masih tidak mahu berubah. Itulah sebabnya, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menjadikan kata-kata ‘berubah jika tidak mahu rebah’ sebagai tangkal untuk menaikan semula semangat anak-anak buahnya.

Masalahnya, anak-anak buah Najib sudah 'tua dan letih'. Mereka tidak biasa dengan pengalaman kalah. Bila mereka kalah, mereka tidak nampak lagi jalan untuk mencari kemenangan semula. Maka, mereka berkelahi di merata-rata tempat sekarang, kecam-mengecam sama-sama sendiri.

Hari ini, orang Umno masih berkata, "orang Melayu akan kembali menyokong BN. Mereka sudah serik dengan Pakatan Rakyat". Kata-kata ini mereka bualkan di merata tempat tetapi mereka sendiri, secara perlahan-lahan memberitahu, Umno (BN) semakin tenat.

Mesyuarat cawangan Umno, tidak cukup korum. Mesyuarat bahagian, boleh berjalan tetapi cukup kurang menarik minat. Mereka sudah tidak mahu berbincang isu Melayu akan kehilangan kuasa jika pembangkang menang kerana mereka nampak, PM Melayu, KSN Melayu, KSU Melayu, SUK Melayu, Menteri Besar Melayu, tetapi yang susah, yang menjerit mahu mempertahankan hak mereka, orang-orang Melayu juga.

Jadi, ada rasa seperti main-main. Apakah Umno tidak berbuat apa-apa sejak Merdeka, hingga masih ada Melayu yang merasakan diri mereka tersisih? Apakah Umno tidak berbuat apa-apa sejak tertubuhnya Malaysia hingga masih ramai Melayu yang menghuni rumah murah dan tidak mempunyai pendapatan?

Hari ini, ramai orang Melayu merasakan Najib terlalu menjaga hati bukan Melayu. Dalam masa yang sama, pemimpin-pemimpin parti komponen BN merasakan, Najib seperti bermain wayang dalam melayani bangsa lain, tetapi dalam masa yang sama masih rapat dengan Perkasa.

Ketika menterjemahkan Konsep 1Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri meletakkan dirinya sebagai Malaysia dahulu, baru Melayu. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pula, mengatakan dirinya Melayu dulu, baru Malaysia. 

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor secara jelas, mahu dikenali sebagai pemimpin BN daripada pemimpin Umno – seolah-olah ada persamaan dengan pendirian Nazri, Malaysia dulu, baru Melayu (BN dulu, baru Umno).

Di sini, jelas antara Nazri, Tengku Adnan, KJ dan Muhyiddin tidak sama pendirian mereka. Apakah mereka tidak faham Konsep 1Malaysia? Atau, mereka faham dengan cara mereka sendiri, dan membiarkan rakyat menafsirkan apakah dia yang dimaksudkan dengan Konsep 1Malaysia.

Najib tidak galak bercakap soal Melayu akan kehilangan kuasa. Mungkin beliau mahu dilihat sebagai pemimpin kebangsaan. Muhyiddin pula dilihat lebih Melayu dari segi percakapannya, mengatasi Najib.

Menteri-menteri lain, tutup mulut. Diam! Mungkin mereka takut dengan pengundi di kawasan masing-masing dan mungkin juga mereka takut tersilap cakap. 

Tiba-tiba, Menteri Dalam Negeri (KDN), Dato' Seri Hishammuddin menyindir mereka yang membuat dakwaan kononnya ada usaha mahu membawa balik Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. Dr. Mahathir sudah menafikannya. Yang membuka cerita ini, Nazri. 

Rakyat ditakutkan dengan cerita Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin ketika menjadi MB Perak, beliau hanya bertindak sebagai boneka. Namun, bekas MB Perak itu sudah menafikannya dan mengatakan apa juga keputusan yang dibuat ketika beliau menjadi MB Perak, adalah hasil perbincangan bersama.

Pemimpin Umno kurang menyerang kepimpinan Menteri Besar Kedah. Mungkin ada isu yang mereka terpaksa senyapkan kerana bimbang juga jika MB Kedah sekarang mendedahkan kesilapan kepimpinan BN terdahulu.

Di Selangor, Umno menyerang Tan Sri Khalid Ibrahim tetapi mengenali Khalid, seorang yang tidak pernah berdolak-dalik, Umno seperti kehabisan oksijen. Terpaksa mereka mengadakan kempen 'Selamatkan Selangor', sebagai satu alternatif kepada usaha untuk kembali berkuasa.

Isu Selangor negeri berlubang kerana cerita korek pasir sudah senyap kini. Rakyat terpingga-pingga. Apakah isu pasir itu betul-betul cerita curi pasir atau, ia hanya cerita politik pihak-pihak yang ingin mencari oksijen politik.

Dulu ada cerita ladang ternakan babi. Tetapi apabila ada bukti yang membabitkan kepimpinan terdahulu terlibat sama dan sempat bergambar di kandang babi, ia juga hanyut begitu sahaja.

Tidak tahulah apakah isu baru yang akan ditimbulkan lagi selepas ini, apabila Khalid dan barisan Exconya mampu menepis semua serangan dari mereka yang sedang dalam onar kerana kehilangan kuasa, hilang gaji, hilang penyokong dan paling penting, hilang akal!

Sampai bila cerita Melayu akan hilang kuasa dimainkan, sama-samalah kita tunggu. Mungkin selepas ini, mereka akan bawa cerita baru, dengan olahan baru tetapi isinya mungkin yang lama juga kerana mereka sudah kering idea.

Bayangkanlah kalau Dr. Mahathir bersikap seperti seorang lagi bekas PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mendiamkan diri dengan pelbagai isu yang timbul, siapakah agaknya yang Umno dan BN akan minta khidmat untuk membantu memainkan cerita Melayu akan hilang kuasa jika pembangkang memerintah negara ini.

Umno ada pakar huruf seperti Ahmad Maslan. Dia akan muncul dengan 5P, 7S,9K dan sebagainya tetapi, isi ceramahnya, lakonan menoreh getahnya serta tidur di rumah orang kampong, bersembahyang subuh bersama orang-orang Felda sudah tidak dapat dilakukan lagi sekarang ini.
-detikdaily-

Tiada ulasan: